
Lenovo Tech World 2016 : Lenovo Phab 2 Pro Smartphone ‘Tango’ Pertama Diperkenalkan
Pada awal tahun 2016, Lenovo telah mengumumkan kerjasamanya dengan pihak Google dan memberitahu mereka akan menjadi terawal menawarkan peranti di bawah Project Tango. Pada pameran Lenovo Tech World 2016 baru-baru ini, Lenovo merealisasikan perkara berkenaan dan telah memperkenalkan secara rasminya Lenovo Phab 2 Pro
Lenovo Phab 2 Pro merupakan sebuah phablet bersaiz 6.4 inci dengan resolusi QHD (2560 x 1440 piksel), hadir dengan rekaan berasaskan logam, sokongan Dolby Atmos Sound serta Dolby 5.1 Audio Capture dan bateri Li-Ion berkapasiti 4050mAh dengan sokongan pengecasan pantas.
Lenovo turut mengintegrasikan sokongan pengimbas cap jari pada bahagian belakang peranti ini. Lenovo Phab 2 Pro memfokuskan kepada sokongan teknologi Tango daripada Google, dan untuk menjayakannya sebanyak tiga kamera digunakan pada bahagian belakang. Lenovo Phab 2 Pro menyokong kamera utama 16 Megapixel, manakala kamera hadapan beresolusi 8 Megapixel. Melengkapkan juga pada bahagian belakang adalah sebuah kamera khusus untuk tujuan rakaman data kedalaman, serta satu lagi untuk merakamkan gerakkan.
Google memberitahu melalui Project Tango, ia membolehkan pengguna merakamkan persekitaran mereka dan menggunakan beberapa kandungan berbentuk Augmented Reality. Di pentas Lenovo Tech World sendiri, demo diperlihatkan di mana persekitaran pengguna dibaca dan kandungan dimainkan yang disesuaikan untuknya. Di samping itu, pengguna turut boleh menggunakan kamera yang tersedia untuk membuat beberapa ukuran serta mengumpulkan data berkaitan yang lain. Lenovo mengatakan Lenovo Phab 2 Pro ini akan mula dipasarkan bermula bulan September ini, dengan harga USD 499 (RM 2036).
Baca Juga:
- Lenovo Tech World 2016 : Lenovo Phab2 & Lenovo Phab2 Plus Model Alternatif Untuk Lenovo Phab Pro
- Lenovo Tech World 2016 : Moto Mods, Modul Untuk Fungsi Tambahan
- Lenovo Tech World 2016 : Moto Z Flagship Modular Daripada Motorola
- Lenovo Tech World 2016: [KONSEP] Lenovo Memperlihatkan Smartphone Boleh Diubah Menjadi Gelang Tangan & Tablet Diubah Ke Smartphone

