
[TERTIRIS] : Redmi K30 Bakal Dibekalkan Bateri 4,500mAh – Pengecasan Penuh Dalam Satu Jam
Redmi dikatakan bakal muncul dengan Redmi K30 pada 10 Disember 2019 dalam sebuah acara pelancaran yang bakal berlangsung di China. Kini, Redmi dilihat terus mengacah orang ramai mengenai spesifikasi dalamannya. Terbaru, Redmi K30 dikatakan bakal dibungkus dengan bateri berkapasiti 4,500mAh – di mana 500mAh lebih besar berbanding pendahulunya iaitu Redmi K20.

Selain itu, Redmi juga mengatakan bahawa bateri ini dibekalkan dengan sokongan pengecasan pantas 30W – yang mana didakwa berupaya mengecas penuh dalam masa satu jam. Redmi mendakwa pengecasan pantas 30W ini adalah berbeza dengan teknologi pengecasan 30W sedia ada di pasaran – ia mempunyai kecekapan pengecasan sehingga 97%.

Khabar angin sebelum ini mendedahkan Redmi K30 mungkin dijana cip pemproses Snapdragon 765G dan dibekalkan paparan bersaiz 6.67″ bersama lensa utama sebesar 64MP. Apakah kejutan yang bakal dibawakan Redmi untuk kali ini? Sama-sama kita tunggu!

