
Tencent baru-baru ini telah merasmikan jam tangan pintar QQ Kids Watch pertama di pasaran Malaysia, sebuah peranti yang khas ditawarkan untuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun. Fungsi utama yang diketengahkan dalam QQ Kids Watch tentunya ciri keselamatan yang menarik, iaitu sokongan GPS dan rangkaian selular bagi membolehkan ibu bapa memantau lokasi semasa anak mereka dengan mudah.
QQ Kids Watch hadir dalam 3 pilihan warna, iaitu biru, merah jambu dan kuning. Skrinnya bersaiz 1.22 inci, tampil dengan kamera 3 Megapixel pada bahagian tepi. Para ibu bapa boleh mengetahui keadaan persekitaran anak-anak mereka dengan adanya rakaman kamera ini.
Selain itu, ciri-ciri seperti memantau langkah perjalanan, berhubung dengan kawan di WeChat, serta berkomunikasi dengan ibu bapa melalui mikrofon terbina turut disediakan. Bateri yang digunakan pada QQ Kids Watch mampu bertahan sehingga 5 hari.

Harga jualan untuk QQ Kids Watch adalah RM569, anda boleh membeli di Popular Book Stores dan Watson Stores bermula penghujung bulan Mei ini. Tawaran promosi selama sebulan turut ditawarkan pada harga RM499. Yang berminat membeli untuk anak-anak kesayangan anda, jangan melepasi peluang mendapatkannya dengan harga promosi ini.


