
Tablet Mampu Milik LG G Pad III 8.0 Membawakan Spesifikasi Lebih Baik
Dalam meraih populariti dengan keunikan kerangka modular yang diperkenalkan pada telefon pintar terbarunya, LG masih tidak mengabaikan pasaran tablet apabila ia telah melancarkan tablet mampu milik terbarunya dengan kemunculan LG G Pad III 8.0 baru-baru ini. Tanpa sebarang promosi atau khabar angin, tablet dari siri G Pad generasi terbaru ini telah mula dijual di Kanada melalui telco tempatan iaitu Rogers dan Fido.
Berbanding dengan generasi sebelum ini, LG G Pad III 8.0 membawakan sokongan spesifikasi yang lebih baik dengan resolusi yang telah dipertingkatkan kepada 1200×1920 piksel dari 800×1280 piksel sebelum ini. Ia juga telah dilengkapi dengan pemproses yang lebih baik iaitu Qualcomm Snapdragon 617, dioperasikan oleh Android 6.0.1 Marshmallow serta RAM sebesar 2GB untuk kelancaran mengoperasikan lebih banyak aplikasi dalam satu masa. Selain itu, kapasiti bateri tablet ini juga telah ditingkatkan ke 4800mAh iaitu bertambah sebanyak 600mAh.
Sebagai rujukan, LG G Pad III 8.0 telah dijual di Kanada pada harga CAD240 (kira-kira RM759).