
Analisis : iPhone 7 Akan Menyokong Memori Dalaman Minimum 32GB
Berdasarkan pelbagai khabar angin dan juga ketirisan gambar yang telah tersebar, mungkin ramai di antara anda yang sudah mengetahui bahawa penampilan reka bentuk iPhone 7 tidak banyak berbeza dengan generasi sebelum ini. Tetapi apa yang menariknya, Apple dikatakan tidak lagi akan menawarkan memori dalaman minimum 16GB pada iPhone 7, sebaliknya akan hadir dengan ruang storan bermula dari 32GB.

Tambahan pula berita ini telah disokong pula dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh penganalisa dari China iaitu Kevin Wang selaku Pengarah Penganalisa Pasaran di IHS Technology. Menurutnya, penyelidikan rantaian bekalan untuk iPhone 7 telah memperlihatkan penggunaan RAM 2GB dengan kapasiti ROM yang akan bermula dari 32GB.
Jika dilihat pada logiknya, sokongan storan minimum sebesar 16GB sememangnya tidak relevan pada masa kini memandangkan iPhone sudahpun menyokong rakaman video berkualiti 4K yang memerlukan ruang storan yang lebih besar.