
Digi baru sahaja melancarkan satu usaha dan inisiatif untuk membantu usahawan teknologi melalui program inkubator sulung mereka yang dikenali sebagai Digi Incub8. Menurut Digi, program ini bagi memenuhi tanggungjawab mereka bagi membantu dan mendidik usahawan-usahawan dalam bidang teknologi serta juga menyediakan platform yang kukuh kepada perniagaan yang baru hendak dimulakan.Praveen Rajan (Chief Digital Officer Digi) berkata masih banyak potensi perniagaan berasaskan teknologi di Sabah dan Sarawak yang masih boleh dibangunkan dan beliau merasakan Digi harus menjalankan tanggungjawab mereka bagi membangunkan potensi tersebut lantas memangkin kemajuan perniagaan teknologi sama seperti apa yang berlaku ketika ini di kawasan semenanjung.
Digi Incub8 akan dijalankan dalam dua fasa, di mana dalam fasa pertama peserta akan menyertai bengkel selama 3 hari bagi mendedahkan mereka dengan asas dan proses permulaan menjalankan perniagaan mereka sendiri. Fasa ini sesuai bagi mereka yang mahu menjalankan perniagaan tapi masih belum menentukan idea asas dan konsep perniagaan mereka.
Fasa kedua adalah bootcamp selama 6 hari yang akan mendedahkan peserta dengan pelbagai ilmu tentang produk, asas perniagaan, strategi pemasaran dan bermacam-macam lagi. Bootcamp ini juga menyediakan ganjaran kepada 3 kumpulan terbaik dengan dana perniagaan sebanyak RM25,000. Kepada mereka yang sudah mempunyai ideas asas perniagaan yang mereka ingin lakukan, anda disarankan menyertai bootcamp ini.