
GeForce GTX 1080 adalah raja kad grafik terbaru di pasaran, dan merupakan pilihan kad grafik terbaik bagi mereka yang mahu bermain permainan VR yang imersif. Bagi memenuhi kemahuan pengguna, Lenovo telah melancarkan Ideacentre Y900 yang dibina dengan kad grafik GeForce GTX 1080 pada acara COMPUTEX di Taipei.
Menurut Wei Li (Senior Sales Director, NVIDIA), mereka berasa bangga dengan pencapaian syarikat tersebut dalam menghasilkan kad grafik terhebat masa kini dan berbesar hati dengan kerjasama yang dijalinkan bersama Lenovo yang memperlihatkan Ideacentre Y900 sebagai desktop pertama yang menggunakan kad grafik GeForce GTX 1080.
Sejauh manakah kehebatan GeForce GTX 1080? Menurut NVIDIA, kad grafik terbaru mereka adalah dua kali ganda lebih hebat dan efisien berbanding GeForce GTX TITAN X. Ia boleh beroperasi dengan pantas pada kadar 1700MHz dengan hanya menggunakan 180 watts kuasa. Ia membolehkan pengguna menikmati grafik permainan pada kadar maksimum tanpa menarik terlalu banyak kuasa dan menjadikan permainan VR lebih lancar dan cantik.

