
3 tema strategik menjadi asas kepada Lenovo dalam memperkenalkan produk terbaru mereka di Malaysia. Di bawah tema pertama, “Empower”, Lenovo memperkenalkan barisan peranti yang dikhususkan kepada syarikat dan organisasi profesional yang memerlukan teknologi dan spesifikasi industri terbaik untuk menjalankan kerja. Antara produk yang ditawarkan adalah sistem server dan komputer tahan lasak yang mampu berfungsi di dalam kondisi yang mencabar.
Di bawah satu lagi tema, “Experience”, Lenovo membawakan peranti kelas pengguna yang sedikit berbeza dari peranti lain yang berada di pasaran. Antara yang menarik perhatian media eRing adalah Thinkpad X1 Tablet yang menggunakan konsep modul dalam reka bentuk dan fungsinya.
Anda boleh menggabungkan modul pilihan bergantung kepada cita rasa dan kehendak kerja anda, antara pilihan modul yang ada adalah bateri tambahan dengan port HDMI, OneLink+ dan USB. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan modul projektor dan kamera 3D yang boleh digunakan bersama ThinkPad X1 Tablet, kesemua modul ini dijual berasingan.
Salah satu lagi peranti yang disenaraikan di bawah tema ini adalah Yoga 900s, ia merupakan versi tambah baik bagi model Yoga 900 dengan badan lebih nipis dan ringan, namun masih mengekalkan fleksibiliti yang sangat baik.
Tema terakhir yang diperkenalkan Lenovo adalah “Engage”, di mana peranti mudah alih dikumpulkan di dalam satu kategori. Ideapad MIIX 700 adalah antara yang menarik pada pelancaran ini, ia mempunyai engsel watchband yang unik dan kickstand yang pastinya akan menarik perhatian kepada mereka yang mementingkan reka bentuk yang lain dari lain. Selain itu ia juga boleh digunakan bersama papan kekunci yang boleh dicantumkan, lantas memudahkan anda untuk melakukan apa jua jenis kerja melalui peranti ini.
Lenovo juga memperkenalkan Tab 3 8 yang disasarkan kepada mereka yang mahukan peranti kompak dan versatil. Ia mempunyai fungsi Dedicated Kids Safe Mode, membolehkan anda menetapkan pelbagai profil pengguna pada peranti ini, menjadikannya peranti sesuai seisi keluarga.