
Kuala Lumpur, 24 Mei – Flash Malaysia hari ini telah mengumumkan pelancaran rasmi siri terbaru Flash dengan kehadiran Flash Plus 2 di negara ini. Selain mempertaruhkan keupayaan penggambaran terbaik sepertimana model Flash sebelum ini, generasi terbaru ini tampil lebih sempurna dengan penggunaan kerangka logam premium yang menawarkan kombinasi ‘perkakasan’ dan juga ‘perisian’ yang terbaik.
Walaupun boleh dikategorikan sebagai telefon pintar mampu milik, Flash Plus 2 menyokong spesifikasi terkini seperti sokongan pengimbas cap jari yang pantas, teknologi pengecas pantas, audio berkualiti HiFi berkeupayaan 32-bit, dioperasikan dengan Android 6.0 Marshmallow, pemproses Octa Core dari MediaTek Helio P10, dan juga paparan skrin berukuran 5.5 inci beresolusi HD Penuh.
Mulai hari ini, pengguna sudah boleh membuat pra-tempahan Flash Plus 2 dengan sokongan 2GB RAM serta memori dalaman sebesar 16GB pada harga RM599. Pembelian boleh dibuat melalui laman web membeli-belah dalam talian nombor satu di Asia iaitu Lazada dengan dua warna pilihan iaitu perak (Luna Silver) dan juga emas (Venus Gold).
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan, Flash Plus 2 versi 3GB RAM dengan memori dalaman 32GB akan turut diperkenalkan untuk pasaran tempatan pada pertengahan ataupun penghujung Jun ini dengan harga jualan RM729.