
Samsung Sedang Mencuba Dua Jenis Paparan Pada Prototaip Galaxy Note 6
Seperti yang telah kita ketahui, Samsung telah mengambil langkah untuk melancarkan Samsung Galaxy Note 6 lebih awal dari tahun-tahun sebelum ini. Bahkan pengeluar dari Korea Selatan itu juga dipercayai sedang giat mencuba prototaip model yang paling dinanti-nantikan itu.
Walaupun masih belum banyak maklumat berkaitan spesifikasi yang berjaya didedahkan, baru-baru ini ada sumber yang boleh dipercayai telah mendedahkan bahawa Samsung sebenarnya telah menghasilkan dua versi untuk Galaxy Note 6, tetapi hanya salah satu daripada versi tersebut akan dilancarkan secara rasmi.
Berdasarkan kepada pendedahan tersebut, dipercayai pihak Samsung berkemungkinan besar telah menghasilkan dua jenis prototaip untuk model Galaxy Note 6 yang tampil dengan paparan rata dan juga paparan melengkung sama seperti Samsung Galaxy S7 edge.
Malah ada juga maklumat yang mendedahkan bahawa Galaxy Note 6 bakal menyokong paparan skrin QHD Super AMOLED berukuran 5.8 inci dengan sokongan kapasiti bateri mencecah sehingga 4000mAh. Namun begitu, ia masih lagi belum dapat disahkan kesahihannya.

