

Sebuah majlis pelancaran eksklusif anjuran Lenovo telah berlangsung dan sidang editor eRing berada di lokasi untuk melaporkan berita tersebut kepada anda. Ruang legar majlis menunjukkan sedikit petunjuk apa yang bakal menyusul sepanjang majlis tersebut. Terdapat beberapa hiasan virtual seperti panorama pantai, gerabak kereta api dan pelbagai lagi yang membuatkan editor sedikit teruja dengan majlis tersebut. Mari ketahui dengan lebih lanjut tentang pelancaran VIBE X3 dan K4 Note yang dikuasakan oleh TheaterMax!
- LENOVO VIBE X3

VIBE X3 merupakan peranti yang menjadi tumpuan semasa majlis tersebut, menurut Lenovo model tersebut dibina dengan meletakkan fokus pada fungsi hiburan dan prestasi. VIBE X3 mempunyai speaker hadapan untuk memaksimumkan kualiti audio yang diterima pengguna. Selain itu Lenovo menambah baik kualiti bunyi bass dengan mengaplikasikan teknologi Dolby ATMOS, 32 bit mobile audio DAC yang mampu menghasilkan bunyi yang lebih jelas dan jitu ketika anda mendengar muzik dan menonton video.
Selain itu VIBE X3 sangat sesuai bagi mereka yang terlibat ataupun ingin menghasilkan kandungan audio digital. Ini kerana VIBE X3 hadir dengan sistem 3 mikrofon dan Wolfson audio codec, sistem dan teknologi tersebut akan membantu anda menapis bunyi bising persekitaran dan sekali gus menghasilkan rakaman audio yang lebih bersih dan jelas. Sebagai contoh jika anda melakukan rakaman ketika menonton konsert, video rakaman anda akan mempunyai kualiti audio yang lebih baik berbanding rakaman menggunakan peranti model lain.
VIBE X3 juga dibina dengan skrin HD penuh 5.5 inci dan ianya disokong dengan teknologi Lenovo Screen yang akan memberikan tona warna dan kontra yang lebih cantik untuk tatapan anda. Kamera belakang peranti ini pula dikuasakan dengan lensa 21 megapiksel yang juga menyokong rakaman 4K Ultra HD. Kamera hadapan pula mempunyai keupayaan 8 megapiksel, cukup baik untuk menghasilkan selfie shot yang cantik.
- LENOVO K4 NOTE

Lenovo K4 Note adalah smartphone kedua yang diperkenalkan pada hari itu. Seperti VIBE X3, model ini juga memberikan fokus kepada fungsi hiburan namun ianya dijual pada harga yang lebih mesra ekonomi. Kebanyakan fungsi hiburan yang ditawarkan pada VIBE X3 ada pada K4 Note, antaranya adalah kualiti audio yang ditambah baik, sistem rakaman audio yang bersih dan jelas, talaan warna Lenovo Screen dan skrin Full HD wide view.
Ketika melihat dan memegang buat pertama kali kedua-dua peranti, agak sukar untuk mencari perbezaan antara VIBE X3 dan K4 Note, ini kerana kedua-duanya menampilkan reka bentuk yang hampir serupa dan fungsi yang lebih kurang sama. Namun terdapat perbezaan ketara apabila kita membandingkan beberapa spesifikasi. Contohnya, K4 Note hadir dengan kamera utama 13 dan cip pemproses MediaTek MT6753 octa core. Walaupun mempunyai spesifikasi yang sedikit rendah dari VIBE X3, ia masih mampu memberikan prestasi yang bagus.
Bacaan lanjut mengenai pelancaran Lenovo TheaterMax