
Microsoft Membawa Papan Kunci Virtual Ke Sistem Operasi iOS Dan Android
Microsoft sedang berusaha membawa teknologi papan kekunci virtual mereka ke beberapa sistem operasi smartphone. Walaupun jualan Lumia tidak memberangsangkan, namun Microsoft ternyata mempunyai inovasi perisian yang sangat praktikal dan berguna. Oleh itu, langkah membawa papan kekunci Word Flow ke dalam sistem operasi iOS dan Android sangat dinanti-nanti.
Ketika ini, Microsoft sedang giat menjalankan ujian di mana ahli Windows Insider Program diberikan Word Flow versi Beta untuk sistem iOS. Dengan papan kekunci Word Flow, pengguna tidak perlu mengangkat jari dari skrin untuk menaip, hanya perlu meluncurkan jari dari satu huruf ke huruf lain untuk menaip, ini sekaligus mempercepatkan proses menaip teks.
Pada tahun 2014 Word Flow mencatat rekod dunia apabila seorang pengguna berjaya menaip teks dengan 160 karakter dalam masa 18.44 saat, sekaligus membuktikan keberkesanan teknologi yang diimplementasi di dalam Word Flow.



