

Hari ini, U Mobile telah melancarkan ULTRA5G, jenama baharunya bagi pengalaman 5G di Berjaya Times Square (BTS) yang juga merupakan ibu pejabatnya. Telco tersebut percaya bahawa nama ULTRA5G menekankan komitmen U Mobile terhadap kelajuan ultra-pantas, keterhubungan ultra mantap dan liputan ultra luas.
Pengguna U Mobile di BTS kini dapat melihat penanda ULTRA5G pada peranti mereka, hasil daripada liputan dalam bangunan (IBC) oleh telco tersebut. Ini menandakan langkah penting dalam strategi U Mobile untuk menyediakan liputan 5G yang menyeluruh dan konsisten di persekitaran dalam dan luar bangunan.
Pengalaman ULTRA5G, dikuasakan oleh teknologi rangkaian pintar dan bertaraf perusahaan, mampu memenuhi keperluan masa depan digital Malaysia yang semakin berkembang. Bagi menyerlahkan keupayaan rangkaian pengalaman ULTRA5G, U Mobile telah mempersembahkan beberapa demonstrasi, termasuk penstriman langsung 4K yang pertama di Malaysia bagi roller coaster sepanjang 800 meter di Taman Tema Berjaya Times Square, iaitu roller coaster dalaman terpanjang di Asia Pasifik dengan pelbagai putaran terbalik yang berlangsung kira-kira dua minit setengah setiap sesi. Penstriman langsung itu direka khas untuk menunjukkan kedalaman dan konsistensi liputan ULTRA5G, yang berjaya meliputi seluruh bangunan serta mengekalkan sambungan yang lancar dan stabil, walaupun roller coaster mencapai kelajuan sehingga 70 km/j.
Selain penstriman langsung itu, bagi memaparkan keupayaan rangkaian pengalaman ULTRA5G, telco tersebut turut mengadakan pengalaman realiti gabungan (mixed-reality) yang imersif dan demonstrasi pemisahan rangkaian (network slicing), mempamerkan perbezaan perkhidmatan serta prestasi yang ultra mantap.
“U Mobile dengan bangganya melancarkan ULTRA5G, nama baharu kami bagi pengalaman 5G yang dikuasakan oleh rangkaian generasi baharu kami. Sebagai penyedia rangkaian 5G terbaharu negara, U Mobile memfokuskan untuk memacu transformasi digital bagi pengguna dan juga perniagaan. ULTRA5G menawarkan pengalaman digital yang dipertingkat, daripada penstriman ultra mantap dan permainan video imersif sehinggalah kepada panggilan video berkualiti tinggi di kawasan sesak. Bagi sektor perusahaan, ULTRA5G membuka peluang kepada penggunaan aplikasi maju seperti XR, robotik, bandar pintar dan automasi IR 4.0. Dengan pelaksanaan yang mendahului jadual, U Mobile turut menggandakan usaha liputan dalaman bagi memastikan pengalaman 5G yang paling terluas dan menyeluruh di Malaysia,” kata Woon Ooi Yuen, Ketua Pegawai Teknologi U Mobile.
Selain Berjaya Times Square, liputan rangkaian 5G telco tersebut juga telah tersedia di Jambatan Pulau Pinang 1, menghubungkan keseluruhan jarak jambatan dengan hanya dua menara, seterusnya menyediakan pengalaman sambungan yang lancar kepada pengguna harian.
Pelancaran ini menandakan pemulaan rangkaian 5G generasi baharu U Mobile yang kini beroperasi dengan sasaran pelaksanaan untuk mencapai 80% Liputan Kawasan Berpenduduk (CoPA) pada separuh kedua tahun 2026. U Mobile berhasrat untuk menyediakan kemas kini berkala mengenai ketersediaan ULTRA5G, dengan pelaksanaan rangkaian yang pesat dijangka merangkumi lokasi strategik seperti lapangan terbang, hospital, pusat konvensyen, serta kawasan dalam dan luar bangunan berimpak tinggi di seluruh negara. Usaha ini sejajar dengan komitmen syarikat untuk menyediakan rangkaian yang paling terluas dan menyeluruh di Malaysia. Untuk maklumat lanjut mengenai ULTRA5G, sila layari: www.u.com.my

