
OPPO Reno2 Rasmi – Sokong Snapdragon 730G + Kamera Utama 48MP + 20X Zoom Digital
Seperti dijanjikan, OPPO hari ini muncul dengan pengenalan ahli baru iaitu OPPO Reno2. Peranti ini dilihat hadir dengan pelbagai penambahbaikan spesifikasi yang menarik di samping kemasan rekaan lebih elegan.

OPPO Reno2 membawakan paparan skrin bersaiz 6.55” AMOLED FHD+ Panoramic Screen dengan nisbah skrin ke badan sebanyak 93.1%. Binaan peranti diperkemaskan dengan Corning Gorilla Glass 6 pada panel hadapan dan Corning Gorilla Glass 5 pada panel belakang sebagai pelindung utama. OPPO Reno2 disertakan dengan sokongan pengimbas cap jari terbina pada skrin – Hidden Fingerprint 3.0.
Enjin dalaman OPPO Reno2 dijana oleh cip pemproses Snapdragon 730G bersama sokongan 8GB RAM dan 256GB ROM. Peranti ini turut menyertakan sejumlah ciri menarik lain termasuk Touch Boost 2.0 & Link Boost.
Untuk kamera, OPPO Reno2 membawakan persediaan empat kamera utama dengan gabungan lensa : 48MP (main) + 8MP (wide angle) + 13MP (telephoto) + 2MP bersama kamera swafoto sebesar 16MP. Menariknya, lensa ini dikatakan menyokong 20x zoom digital dan 5x zoom hybrid.
Di samping itu, ia turut menyertakan sejumlah ciri menarik termasuk Ultra Wide Angle, Ultra Dark Mode, Ultra Steady Video dan Bokeh Effect Video (kamera depan & belakang). OPPO turut menyertakan sokongan 20x zoom digital dan 5x zoom hybrid untuk fungsi rakaman video.
Seterusnya, OPPO Reno2 membawakan persediaan bateri besar dengan kapasiti 4,000 mAh bersama sokongan pengecasan pantas VOOC 3.0. Peranti ini didatangkan dalam dua pilihan warna menarik seperti Ocean Blue & Luminous Black. Pada masa sama, OPPO memperkenalkan varian lebih asas iaitu : OPPO Reno2z dan OPPO Reno2F. Harga dan ketersediaan untuk pasaran India adalah seperti berikut :
- OPPO Reno2 – Rs.36,990 (kira-kira RM2,172)
- OPPO Reno2z – Rs.29,990 (kira-kira RM 1,760)
- OPPO Reno2F – Tersedia bermula November

























