
Fitbit Menerajui Pasaran Pada Suku Kedua Dengan Pengedaran Sebanyak 3.7 Juta Unit Peranti Kecergasan
Penerimaan peranti boleh pakai di kalangan pengguna di seluruh dunia telah memperlihatkan perkembangan yang positif apabila Fitbit telah dilaporkan berjaya mengedar sehingga 3.7 juta unit peranti boleh-pakai kecergasan setakat pada suku kedua tahun 2016.
Bahkan sehingga ini, jumlah pengedaran peranti boleh-pakai jenama itu telah mencecah sehingga 9 juta unit secara keseluruhannya. Menurut penganalisa dari Canalys, pengedaran peranti boleh-pakai asas keluaran Fitbit telah memperlihatkan pertumbuhan yang sangat baik iaitu mencecah sehingga 36% dalam tempoh setahun.

Di kedudukan kedua pula telah didominasi oleh peranti boleh-pakai keluaran Xiaomi dengan model Mi band yang mencatatkan pengedaran mencecah 3 juta unit pada suku yang sama. Manakala tempat ketiga pula berjaya disandang oleh Garmin dengan jumlah pengedaran yang yang agak jauh berbeza iaitu hanya sekitar 700,000 unit sahaja.
Walau bagaimanapun pengedaran Android Wear telah memperlihatkan penurunan pada suku kedua tahun 2016 tetapi tidak didedahkan angkanya, dan Apple Watch pula berjaya diedarkan sebanyak 3 juta unit pada tempoh yang sama.

