
Acer Perkenal Desktop Kompak Yang Berkuasa Dengan Aspire X3 Dan Aspire XC Serta Siri Monitor Permainan
Acer baru-baru ini telah memperkenalkan dua buah desktop kompak dan berkuasa dari siri terbarunya dengan kemunculan Aspire X3 dan juga Aspire XC untuk pasaran tempatan. Desktop yang dilengkapi dengan pemproses berkuasa ini telah dibangunkan khusus untuk pengguna yang mementingkan aspek tugasan kerja harian dan juga hiburan.
Aspire X3-780 yang dijual pada harga bermula dari RM3,499 ini telah dikuasakan oleh pemproses Intel Core i7 siri 6700, cip pemproses NVIDIA GeForce GTX745 berkapasiti 4GB, cakera keras sebesar 2TB, memori RAM 4GB DDR4, DVD-Super Multi Drive, dan juga sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac. Bahkan ia juga turut dilengkapi dengan ‘Wireless Charging Deck’ bagi membolehkan pengguna mengecas peranti mudah alih dengan lebih mudah dan efisien. Ia akan mula dijual di pasaran tempatan bermula awal Ogos 2016 ini. Manakala Aspire XC-780 sudahpun mula dijual di pasaran pada harga RM1,599 dan menampilkan sokongan spesifikasi yang sama seperti Aspire X3, cuma ia menyokong pemproses dan juga pemproses grafik yang lebih rendah iaitu Intel Core i5 siri 6400 dan juga Intel HD Graphics 530.
Selain itu, Acer turut hadir dengan monitor permainan kelas permulaan HD Penuh dengan dua model iaitu KG270 (27 inci) yang berharga RM759 dan juga KG240A (24 inci) yang dijual pada harga RM899. Sokongan resolusi 1920 x 1080 piksel bukan sahaja berupaya menawarkan paparan warna yang sangat baik, tetapi ia turut dibantu dengan teknologi AMD FreeSync bagi memastikan permainan yang lebih lancar iaitu masa respon kurang 1ms. Malah penggunaan teknologi Black Boost turut membantu dalam menala paparan skrin agar menyokong kontras yang jauh lebih baik. Sebagai tambahan, model KG240A turut menyokong kadar refresh yang tinggi mencecah 144Hz untuk memastikan pergerakan 2D yang sangat lancar.



