
Carousell Meneruskan Momentum Pertumbuhan Dengan Pelaburan Naver Berjumlah AS$80 Juta

Carousell mengumumkan bahawa konsortium yang diketuai oleh Naver telah melabur dalam Carousell, dengan perjanjian keseluruhan berjumlah AS$80 juta. Mirae Asset-Naver Asia Growth Fund dan NH Investment & Securities adalah pelabur lain dalam konsortium tersebut.
Carousell akan bernilai lebih AS$900 juta selepas pelaburan ini berikutan penggabungan dengan pasaran jual beli tempatan Mudah pada 2019 untuk menerajui kepimpinan kategori ini di Malaysia. Pusingan pendanaan terbaharu ini menandakan keyakinan berterusan dalam pertumbuhan dan kerelevanan misi Carousell, dengan kerancakan penggunaan e-dagang di mana pembeli beralih kepada urusniaga dalam talian, menjual lebih banyak barangan terpakai dan menyokong komuniti tempatan mereka semasa pandemik global ini.
Pandemik COVID-19 memberi kesan besar kepada individu dan perniagaan di seluruh dunia dalam pelbagai keadaan. Dalam enam bulan terakhir ini, Carousell telah berkembang sebagai platform penting bagi pengguna di lapan pasaran. Ini termasuklah inisiatif serantau seperti menyediakan iklan percuma bernilai AS$2 juta kepada organisasi tidak berasaskan keuntungan, melancarkan kategori baharu ‘Item Percuma’ untuk kempen #ChoosetoGive di mana masyarakat menderma barangan percuma buat pengguna yang memerlukan, dan usahasama dengan agensi kerajaan seperti Enterprise Singapore, Hong Kong Productivity Council dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia bagi menyokong digitalisasi perusahaan mikro dan PKS.
Dengan kerjasama Naver ini, Carousell kini boleh mengambil lebih ramai bakat tempatan di Malaysia untuk menyokong inisiatif transformasi bagi memperibadikan lagi carian dan saranan untuk berjuta-juta penyenaraian dan pengguna, mengautomasikan kualiti pasaran bagi menghapuskan penipuan, dan menambahbaik pengalaman penjualan dengan cadangan harga, kategori dan data produk yang lebih tepat. Dengan menyelesaikan semua masalah teknologi yang mencabar ini, Carousell membolehkan penjualan dan pembelian yang lebih intuitif bagi penggunanya dan meningkatkan lagi visi Classifieds 4.0 untuk cara baharu menayangkan iklan jual beli, menjadikan penjualan dan pembelian barangan terpakai sebagai pilihan pertama.

