
CES 2018: Samsung Bixby Bakal Tampil Dengan Ciri Kiraan Kalori Di Dalam Makanan
Bagi pengguna khususnya pemilik telefon pintar keluaran Samsung yang sangat mementingkan gaya hidup yang sihat, pemantauan pengambilan kalori seharian kebiasaannya akan dibuat dengan bantuan aplikasi pihak ketiga. Walaupun terdapat pelbagai aplikasi percuma yang boleh dimuat turun dari Google Play Store, ia mungkin dirasakan kurang praktikal bagi pengguna yang memiliki ruang storan yang agak terhad.
Sempena acara CES 2018 yang sedang berlangsung, Samsung telah mendedahkan kepada umum ciri baru yang bakal disokong pada pembantu digital maya keluarannya iaitu Bixby. Melalui sesi demonstrasi yang dibuat, Samsung Bixby dilihat mampu mengenal pasti jenis makanan dan dalam masa yang sama akan membuat kiraan jumlah kalori yang terkandung di dalamnya.
Sungguhpun begitu, ciri terbaru yang bakal diperkenalkan pada Samsung Bixby ini dilihat masih dalam peringkat awal pembangunan kerana ia memiliki sedikit kesukaran untuk mengenal pasti makanan, terutamanya jika terdapat beberapa bahan berbeza di dalam satu pinggan yang sama.
Sumber: Engadget


