7 Ciri-Ciri Menarik Tentang ASUS ZenFone Max Plus (M1)

Penghujung tahun 2017 yang lalu telah menyaksikan peralihan yang agak drastik pada rekaan telefon pintar apabila lebih banyak pengeluar dilihat tampil dengan rekaan skrin hampir penuh dengan format paparan 18:9 bagi menggantikan paparan tradisional 16:9. Nampaknya ASUS juga tidak mahu ketinggalan untuk tampil dengan trend tersebut melalui kemunculan model ASUS ZenFone Max Plus (M1) sebelum 2017 melabuhkan tirainya.

Baca Juga:

 

1. Skrin 18:9 Sebesar 5.7 inci

Skrin dengan nisbah paparan 18:9 pada ASUS ZenFone Max Plus (M1) adalah salah satu daripada ciri menarik model ini kerana ia merupakan yang pertama menampilkan rekaan sebegini dari ASUS.

Mungkin ada di antara anda yang merasakan skrin berukuran 5.7 inci pastinya memiliki saiz kerangka yang agak besar, tetapi ini tidak menjadi isu dengan ZenFone Max (M1) kerana ia masih berjaya mengekalkan saiz kerangka yang sama seperti peranti dengan sokongan skrin 5.2 inci.

 

2. Bateri 4130mAh

Walaupun ASUS ZenFone Max Plus (M1) memiliki kerangka dengan rekaan yang agak kompak, ia masih mampu menawarkan kapasiti bateri yang sangat besar iaitu mencecah sehingga 4130mAh. Sokongan bateri sebesar ini ternyata lebih praktikal kerana ia turut dilengkapi keupayaan untuk mengecas peranti lain menggunakan bantuan kabel USB OTG.

Malah penyediaan teknologi pengurusan tenaga bateri PowerMaster yang tersedia pada peranti ini turut membantu dalam memastikan penggunaan dua kali lebih lama dan dalam masa yang sama memanjangkan kitar hayat bateri.

 

3. Dwi Kamera Dengan Sudut Luas

Sama seperti model ZenFone 4 Max Pro (ZC554KL), generasi terbaru ZenFone Max ini masih dilengkapi dengan keupayaan penggambaran dwi kamera. Sungguhpun begitu, ZenFone Max Plus (M1) menyokong kombinasi lensa yang lebih baik iaitu lensa utama beresolusi 16 Megapiksel (Aperture f/2.0), dan juga lensa kedua beresolusi 8 Megapiksel (Aperture f/2.0) untuk penggambaran sudut luas sehingga 120°.

 

4. Kamera Swafoto Dengan Sudut Luas

Penggambaran swafoto pada ZenFone Max Plus (M1) juga tidak diabaikan kerana ia memiliki kamera depan beresolusi 16 Megapiksel dengan Aperture f2.0. Malah sokongan penggambaran sudut yang lebih luas iaitu mencecah sehingga 140° dengan penyediaan mod Selfie Panorama. Lima pilihan mod kecantikan turut disediakan bagi memastikan anda dapat mengambil gambar swafoto yang lebih sempurna.

 

5. ASUS ZenUI 4.0

Antaramuka ASUS ZenUI 4.0 berasaskan Android 7.0 Nougat yang disokong oleh ZenFone Max Plus (M1) bukan sahaja menawarkan pengalaman yang lebih intuitif, tetapi ia bebas daripada lambakan aplikasi pra-pasang yang tidak diperlukan (bloatware).

Ia juga kini telah menyokong ciri keselamatan biometrik menggunakan kaedah pengecaman wajah yang menjanjikan tahap keselamatan yang lebih baik dan lebih mudah untuk digunakan.

 

6. Kerangka logam

Harga jualan yang mampu milik tidak menghalang ASUS untuk memastikan penampilan yang premium pada ZenFone Max Plus (M1) kerana ia menawarkan kerangka yang diperbuat daripada logam.

Berbeza dengan siri ZenFone 4, kedudukan sensor pengimbas cap jari pada peranti ini juga telah dipindahkan semula bahagian panel belakang sama seperti generasi ZenFone sebelum ini.

 

7. Tiga slot kad berasingan

Jika anda inginkan sebuah peranti dengan sokongan dua slot kad SIM dengan satu slot kad microSD, ZenFone Max Plus (M1) merupakan pilihan yang sesuai kerana ia menawarkan tiga slot kad secara berasingan.

Kedua-dua slot kad SIM ini menyokong rangkaian 4G dengan kelajuan mencecah sehingga 150Mbps, manakala slot kad microSD pada peranti ini pula menyokong kapasiti maksimum sehingga 256GB.

 

 

You might also like