
vivo X20 Menjadi Telefon Pintar Pilihan ‘Kaki Game’ Di China

Mungkin ada di antara pembaca di luar sana yang telah sedia maklum bahawa vivo X20 merupakan model eksklusif yang hanya dilancarkan untuk pasaran di China sahaja. Berbeza dengan model vivo V7+ yang dijual untuk pasaran tempatan, vivo X20 menawarkan spesifikasi yang jauh lebih baik seperti sokongan dwi kamera, paparan skrin 6.01 inci Super AMOLED beresolusi FHD+, dan dikuasakan dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 660.

Melalui pendedahan piawaian telefon pintar untuk permainan telah diumumkan oleh JD.com di Beijing, vivo X20 sememangnya menjadi pilihan ‘kaki game’ di China kerana ia memenuhi segala kriteria yang telah ditetapkan. Antaranya adalah sokongan pemproses dengan kelajuan melebihi 2.0GHz, GPU dengan keupayaan 60 fps, RAM dengan kapasiti melebihi 6GB, memori dalaman sekurang-kurangnya 64GB, paparan skrin melebihi 5.5 inci, kerangka yang ringan, dilengkapi teknologi pengecasan pantas dan banyak lagi.

Apa yang pasti, sokongan mod permainan yang sememangnya sangat sesuai untuk digunakan pada permainan atas talian yang disokong oleh vivo X20 ternyata menjadi pilihan pemain permainan mudah alih di Tanah Besar China. Tambahan pula vivo juga telah hadir dengan varian eksklusif X20 melalui model “King Of Glory” Special Edition.

