
Apple Disaman Atas Dakwaan Sengaja Memperlahankan Model Lama iPhone

Perkongsian artikel di laman Reddit berkaitan prestasi iPhone yang akan menjadi perlahan apabila kapasiti bateri menjadi rendah sebelum ini telah mendapat perhatian banyak pihak. Menyedari akan kontroversi yang timbul, Apple akhirnya telah mengeluarkan kenyataan bahawa sememangnya mereka telah mengimplementasikan ciri pengurusan tenaga pada model lama iPhone bermula tahun lepas iaitu melalui kemas kini iOS 10.2.1. Tujuannya adalah untuk memastikan iPhone itu boleh terus digunakan untuk tempoh yang lebih lama.

Walaupun Apple telah menerangkan sebab ciri itu diimplementasikan pada iPhone, dua orang pengguna iPhone dari Los Angeles iaitu Stefan Bogdanovich dan juga Dakota Speas dilihat tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut dan telah memfailkan saman. Diwakili oleh firma guaman Wilshire, anak guamnya itu telah mendakwa Apple telah menyebabkan model lama milik mereka iaitu iPhone 7 dan beberapa model yang lain telah menjadi perlahan selepas model terbaru diperkenalkan oleh Apple.

Memandangkan tuntutan saman ini baru sahaja difailkan di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat untuk Daerah Tengah California, kita tunggu dan lihat sahaja nanti sama ada Apple akan diarahkan untuk memenuhi tuntutan tersebut ataupun tidak.
Sumber: MacRumours

