[Tertiris] Sony Xperia Dengan Paparan Hampir Penuh

Trend menggunakan paparan hampir penuh kini dilihat menjadi ikutan oleh setiap pengeluar, sekaligus masing-masing berlumba-lumba untuk menghasilkannya. Setakat ini, hanya jenama Sony yang masih berada di takuk lama yang kekal menggunakan rekaan tradisional.

Bagaimanapun, baru-baru ini GizChina.com telah berkongsi imej menunjukkan peranti Xperia tidak lama lagi akan berubah rupa. Dua model peranti Xperia yang dilihat tertiris kini menggunakan skrin hampir penuh dengan bingkai nipis di depan.

Ia menunjukkan kedua-dua model tidak lagi hadir dengan rekaan bersegi sebaliknya menggunakan rekaan yang lebih bulat. Model pertama menerima panel gelas seperti Xperia XZ Premium berbanding model kedua didatangkan dengan kerangka logam.

Selain itu, peranti ini turut tampil dengan sistem dwi-kamera dengan orentasi yang berbeza di kedua-dua model. Di samping itu, Sony dikatakan akan mengekalkan paparan 4K pada peranti Xperia akan datang pada saiz 5.7 inci bernisbah 18:9.

Bagi kuasa dalaman, model-model ini akan dikuasakan cip terbaru Snapdragon 845 di samping RAM sebesar 6GB. Sistem operasi dijana Android Oreo yang menyokong sambungan USB Type-C untuk pemindahan data.

Harga pasarannya pula dijangka ultra-premium setanding Galaxy Note8.

You might also like