Punca Pereka Permainan ‘Plants vs Zombies’ Dipecat Oleh EA Akhirnya Terbongkar

Pereka asal permainan yang pernah mencetuskan fenomena sedikit masa dahulu dengan kemunculan Plants vs Zombies iaitu George Fan, sebelum ini pernah dilaporkan telah dipecat oleh Electronic Arts (EA) pada awal tahun 2014 lalu. Namun begitu, punca pemecatan itu tidak pernah didedahkan kepada umum kerana pihak PopCap yang merupakan satu pasukan kecil yang telah dimiliki oleh EA pada tahun 2011 selepas permainan itu meraih populariti yang luar biasa pada awal kemunculannya pada tahun 2009. Sememangnya keputusan pemecatan yang dibuat oleh EA itu memberi kesan kepada PopCap, namun mereka terpaksa mengambil langkah untuk berdiam diri bagi menjaga perancangan untuk masa depan.

Plants vs Zombies menawarkan gaya permainan yang ringkas tetapi sangat menghiburkan

Selepas lebih kurang tiga tahun selepas George Fan dipecat tanpa sebarang pendedahan yang lebih terperinci, akhirnya punca pemecatan pereka asal permainan ini telah didedahkan baru-baru ini. Di dalam sesi Roundtable Podcast yang dianjurkan oleh Alex Larrabee, Edmund McMillen telah mendedahkan bahawa pemecatan itu dibuat kerana keengganan George Fan untuk menghasilkan model permainan yang berkonsepkan bayar-untuk-menang yang kini telah diguna pakai pada siri Plants vs Zombies 2: It’s About Time.

George Fan – pereka asal permainan ‘Plants vs Zombies’

Menurut Edmund McMillen lagi, George Fan dikatakan telah dipecat secara serta-merta kerana bantahannya itu. Namun begitu, perjuangan pereka asal permainan Plants vs Zombies itu tidak berakhir setakat itu kerana dia dikatakan kembali aktif menghasilkan permainan mudah alih, termasuklah permainan terbaru yang akan diperkenalkan tidak lama lagi iaitu Octogeddon.

You might also like