ERA AI MALAYSIA: OPTIMISME SEIMBANG DENGAN SERUAN UNTUK KETERBUKAAN, KEADILAN DAN PEMANTAUAN MANUSIA YANG LEBIH TEGAS, MENURUT TELENOR ASIA

Pengguna internet Malaysia menerima kecerdasan buatan (AI) sebagai teknologi yang berpotensi tinggi untuk meningkatkan produktiviti, pembelajaran, dan kemudahan dalam kehidupan seharian. Namun, mereka menggunakan teknologi ini dengan penuh kesedaran dan pertimbangan, menurut laporan Telenor Asia Digital Lives Decoded 2025: Building Trust in Malaysia’s AI Future yang dikeluarkan hari ini.

Memasuki tahun keempat, kajian ini meninjau 1,000 pengguna internet di Malaysia bagi memahami bagaimana AI membentuk dan mengubah kehidupan digital. Hasil kajian menunjukkan masyarakat digital yang matang dan bijak, yang optimis terhadap potensi AI tetapi pada masa yang sama amat peka terhadap risiko, aspek etika, keadilan, serta kawalan yang diperlukan.

“Seiring dengan AI menjadi sebahagian daripada cara masyarakat bekerja, belajar, dan berhubung di seluruh Malaysia, perubahan ini hadir bersama keperluan yang jelas untuk perlindungan etika dan tanggungjawab bersama. Pengguna internet Malaysia menyeru agar keterbukaan, keadilan, dan kawalan yang lebih besar diberi perhatian. Tuntutan ini mencerminkan masyarakat digital yang matang, yang menghargai inovasi dan tanggungjawab secara seimbang. Bagi menyokong perkembangan ini, sistem AI mesti dibangunkan di atas infrastruktur yang selamat, boleh diperluas, dan tahan lasak. Kepercayaan serta keselamatan adalah asas kepada mana-mana masyarakat digital, dan amat menggembirakan melihat pengguna Malaysia memberi penekanan kepada pembangunan dan penggunaan AI yang bertanggungjawab,” kata Manisha Dogra, Naib Presiden Kanan dan Ketua Perhubungan Luar serta Kemampanan di Telenor Asia.

“Pengguna internet di Malaysia mengharapkan sistem AI yang telus, inklusif, dan berpusatkan manusia sebagai keperluan asas, bukan kemewahan. Bagi syarikat, hasil kajian ini menegaskan bahawa penggunaan AI yang bertanggungjawab bukan lagi sekadar nilai jenama pilihan, tetapi perbezaan utama dalam persaingan. Perniagaan perlu mengutamakan amalan pengurusan data yang bertanggungjawab, melabur dalam peningkatan kemahiran pekerja, dan mewujudkan persekitaran yang mana perlindungan etika menjadi sebahagian daripada inovasi yang dikuasakan AI,” tambah Dr Ieva Martinkenaite, Naib Presiden Kanan dan Ketua AI Kumpulan Telenor.

  1. AI adalah rakan produktiviti dan pembantu peribadi bagi rakyat Malaysia.

Menandakan perubahan tingkah laku yang ketara, 89 peratus pengguna internet Malaysia menyatakan mereka menggunakan AI, meningkat daripada 75 peratus pada tahun 2024. Menariknya, bilangan pengguna internet yang menggunakan AI untuk tujuan kewangan serta kesihatan dan kecergasan telah meningkat lebih daripada dua kali ganda. Kini, satu perempat daripada pengguna internet Malaysia yang disoal selidik menggunakan teknologi AI dengan sedar beberapa kali sehari. 

Mereka juga secara aktif memanfaatkan AI untuk meningkatkan kemahiran diri. Kompetensi utama yang dibantu oleh AI termasuk penyelesaian masalah (56 peratus), analisis data (48 peratus), penyelidikan (47 peratus) dan kreativiti (45 peratus). Dalam perspektif masa hadapan, rakyat Malaysia berharap AI akan terus menyokong keberkesanan, ketepatan, serta pemikiran kritis. Majoriti (6 daripada 10) berpendapat bahawa peningkatan kemahiran dalam bidang AI adalah tanggungjawab peribadi, sekaligus mencerminkan peralihan ke arah berdikari dalam mengharungi landskap AI.

  1. AI di Tempat Kerja: Peluang yang Belum Dimanfaatkan

Lebih separuh (51 peratus) daripada pengguna internet Malaysia kini menggunakan AI di tempat kerja, meningkat daripada 37 peratus pada tahun 2024. Penggunaan AI yang paling kerap di tempat kerja termasuk untuk analitik (59 peratus), pembangunan kandungan (52 peratus), dan perkhidmatan pelanggan (45 peratus).

Bagi mereka yang sudah menggunakan AI di tempat kerja, 17 peratus daripada mereka lebih cenderung mempercayai bahawa AI akan memberikan impak yang sangat positif terhadap keselamatan pekerjaan mereka, manakala 13 peratus optimis mengenai kesan positif AI terhadap ekonomi negara. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa penggunaan AI membantu membina keyakinan dalam kalangan masyarakat. 

Walau bagaimanapun, hanya satu daripada tiga pengguna AI di tempat kerja menyatakan bahawa syarikat mereka mempunyai strategi AI yang jelas. Selain itu, walaupun majoriti berpendapat bahawa mereka bertanggungjawab secara peribadi untuk mengikuti perkembangan AI, empat daripada sepuluh mengharapkan sokongan daripada majikan, institusi pendidikan, dan kerajaan untuk membantu mereka memperoleh kemahiran yang diperlukan. Situasi ini membuka peluang untuk menetapkan matlamat organisasi yang lebih jelas serta menyediakan latihan yang berkesan bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi AI. Syarikat mempunyai peranan penting dalam menyokong penggunaan AI yang mampan dan bertanggungjawab melalui perancangan strategik yang jelas dan komunikasi yang efektif kepada para pekerja.

  1. Perbezaan Generasi: Gen Z sebagai Pengguna Utama Teknologi AI dan Pelindung Nilai Etika

Perbezaan generasi mempengaruhi cara AI digunakan dan diterima dalam masyarakat. Gen Z merupakan kumpulan pengguna AI yang paling bersemangat sekaligus paling prihatin terhadap implikasi etika teknologi ini. Hampir sembilan daripada sepuluh pengguna internet Gen Z memanfaatkan teknologi AI, termasuk untuk menghasilkan kandungan, menyiapkan tugasan sekolah, serta mendapatkan sokongan emosi seperti nasihat perhubungan. Mereka juga melaporkan peningkatan dalam kemahiran kepimpinan, empati, dan keyakinan melalui penggunaan AI.

Namun begitu, kumpulan ini juga merupakan yang paling kritikal, dengan 69 peratus sedar akan risiko dan kecenderungan bias dalam AI. Walaupun 71 peratus menyatakan keselesaan terhadap cara AI berfungsi, mereka paling cenderung mempersoalkan penggunaan AI dalam bidang sensitif seperti pengambilan pekerja, pengecaman wajah, dan penyediaan kontrak. Lebih satu pertiga (35 peratus) daripada mereka mengakui bahawa kesedaran terhadap etika dan bias adalah kemahiran penting yang perlu dikuasai untuk menghadapi masa hadapan.

  1. Kesedaran Mengenai Keselamatan Dalam Talian dan Risiko AI Memacu Budaya Digital yang Lebih Berpengetahuan

Pengguna internet Malaysia kekal optimis terhadap impak AI terhadap masyarakat, khususnya dalam sektor pendidikan. Kepercayaan terhadap kandungan yang dijana oleh AI juga meningkat dengan secara menyeluruh, terutamanya dalam bidang pendidikan (+15 peratus), nasihat kewangan (+25 peratus), dan kesihatan (+19 peratus).

Namun begitu, optimisme ini diimbangi dengan kesedaran yang mendalam mengenai risiko yang wujud. Enam daripada sepuluh rakyat Malaysia menyatakan privasi sebagai kebimbangan utama dalam penggunaan AI, manakala separuh daripada pengguna internet Malaysia melaporkan tahap kesedaran tinggi terhadap potensi risiko dan bias yang mungkin timbul daripada penggunaan AI.

Secara keseluruhan, pengguna internet Malaysia mengamalkan sikap lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat peribadi secara dalam talian. Hanya 47 peratus bersedia berkongsi data peribadi bagi tujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan. Ketelusan dan kawalan adalah aspek penting, yang mana 42 peratus menyatakan mereka hanya akan berkongsi data sekiranya dimaklumkan dengan jelas mengenai cara penggunaan data tersebut.

  1. Seruan untuk Tanggungjawab Bersama dan Pemantauan Manusia

Secara keseluruhan, pengguna internet Malaysia menuntut piawaian etika yang tinggi, dengan penekanan mendalam terhadap pengawasan manusia dan ketelusan, terutamanya dalam aplikasi sensitif seperti pengambilan pekerja. Kurang daripada separuh (46 peratus) berpendapat tidak adil jika sesebuah syarikat menggunakan AI dalam membuat keputusan tanpa pemantauan manusia.

Dalam hal pengurusan penggunaan AI, pengguna internet Malaysia percaya tanggungjawab tersebut perlu dikongsi bersama antara individu (52 peratus), syarikat teknologi (52 peratus), dan kerajaan (49 peratus). Hasil kajian ini menunjukkan perubahan berbanding tahun 2024, apabila kepercayaan lebih tertumpu kepada institusi seperti kerajaan dan penyedia perkhidmatan bagi memastikan keselamatan dalam talian. 

Manisha Dogra menyimpulkan, “Pendekatan dua hala yang menggabungkan tanggungjawab peribadi bersama akauntabiliti institusi menekankan kepentingan melengkapkan semua pengguna, terutamanya generasi muda dan kumpulan terpinggir, dengan kemahiran serta pengetahuan untuk berinteraksi secara kritikal dengan AI. Komitmen kami jelas iaitu untuk menyokong masa hadapan digital yang bukan sahaja lebih pintar, malah lebih selamat dan terjamin untuk semua.”

Untuk maklumat lanjut atau untuk mengakses laporan penuh Digital Lives Decoded 2025: Building Trust in Malaysia’s AI Future, sila layari www.telenorasia.com/digitallivesdecoded

You might also like