- Iklan -

Penilaian Penggabungan dan Pengambilalihan (M&A) melonjak pada separuh kedua tahun 2020 walaupun COVID-19 memberi kesan kepada ekonomi, menurut PwC

Jumlah urus niaga meningkat sebanyak 18% dan nilai urus niaga meningkat 94% pada separuh kedua tahun 2020

Urus niaga mega berganda pada separuh kedua tahun tersebut

Subsektor teknologi dan telekom menyaksikan pertumbuhan tertinggi disebabkan peningkatan permintaan terhadap aset digital

Syarikat pemerolehan tujuan khas (SPAC) telah mengumpul modal kira-kira $70 bilion

LONDON, 19 Januari 2021 /PRNewswire/ — Penilaian M&A sedang melonjak yang menyaksikan penilaian yang tinggi dan persaingan sengit bagi kebanyakan aset berasaskan digital atau teknologi yang memacu aktiviti urus niaga global, menurut analisis Global M&A Industry Trends terkini dari PWC.

Analisis ini menilai aktiviti urus niaga global selama enam bulan terakhir pada tahun 2020 dan menggabungkan pandangan daripada pakar urus niaga industri PwC untuk mengenal pasti trend utama yang memacu aktiviti M&A dan jangkaan pelaburan menarik pada tahun 2021.

Walaupun wujudnya ketidakpastian yang disebabkan oleh pandemik COVID-19, aktiviti M&A menunjukkan lonjakan pada separuh kedua tahun 2020.

“COVID-19 memberi gambaran masa depan yang luar biasa terhadap syarikat dan ramai yang tidak suka dengan apa yang dilihat oleh mereka. Pemecutan dalam pendigitalan dan transformasi perniagaan mereka serta-merta menjadi keutamaan dan M&A merupakan cara terpantas untuk merealisasikan hal ini — bagi mewujudkan landskap yang sangat kompetitif untuk urus niaga terbaik,” kata Brian Levy, Ketua Urus Niaga Industri Global PwC, Rakan Kongsi, PwC AS.

Maklumat utama tentang aktiviti urus niaga pada separuh kedua tahun 2020 merangkumi:

  • Urus niaga telah melonjak pada separuh kedua tahun tersebut yang menyaksikan jumlah dan nilai urus niaga global meningkat sebanyak 18% dan 94%, masing-masing berbanding pada separuh pertama tahun tersebut. Di samping itu, kedua-dua jumlah dan nilai urus niaga juga telah meningkat berbanding enam bulan terakhir pada tahun 2019.
  • Nilai urus niaga yang lebih tinggi pada separuh kedua tahun 2020, sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan dalam urus niaga mega (lebih $5 bilion). Secara keseluruhan, 56 urus niaga mega telah diumumkan pada separuh kedua tahun 2020, berbanding hanya 27 pada separuh pertama tahun tersebut.
  • Subsektor teknologi dan telekom menyaksikan pertumbuhan tertinggi dalam jumlah dan nilai urus niaga pada separuh kedua tahun 2020 dengan jumlah urus niaga teknologi meningkat sebanyak 34% dan nilai urus niaga meningkat sebanyak 118%. Jumlah urus niaga telekom telah meningkat sebanyak 15% dan nilai pula meningkat dengan tinggi iaitu sebanyak hampir 300% hasil daripada tiga urus niaga mega telekom.
  • Berdasarkan wilayah, jumlah urus niaga meningkat sebanyak 20% di Amerika, 17% di EMEA dan 17% di Asia Pasifik berbanding antara separuh pertama dan kedua tahun 2020. Amerika menyaksikan pertumbuhan terbesar dalam nilai urus niaga iaitu melebihi 200%, terutamanya dihasilkan oleh beberapa urus niaga mega yang penting pada separuh kedua tahun tersebut.

COVID-19 mempercepatkan aktiviti urus niaga untuk aset digital dan teknologi dalam pasaran yang sangat kompetitif 

Permintaan aset telah menyebabkan penilaian tinggi dan persaingan sengit yang didorong oleh

faktor makroekonomi. Faktor ini merangkumi kadar faedah yang rendah, keinginan untuk memperoleh perniagaan inovatif, didayakan digital atau teknologi dan modal yang tersedia dengan banyaknya daripada kedua-dua korporat (lebih $7.6 trilion dalam sekuriti tunai dan boleh dipasarkan) serta pembeli ekuiti swasta ($1.7 trilion).

Sebagai perbandingan, aset dalam sektor yang paling terkesan dengan pandemik seperti pembuatan perindustrian atau yang berasaskan faktor-faktor seperti transformasi kepada pelepasan karbon sifar bersih sedang mewujudkan perubahan struktur yang perlu ditangani oleh syarikat. Sekiranya kedayamajuan masa depan model perniagaan syarikat tercabar, ia mungkin mencari peluang dalam kalangan M&A yang tertekan atau penyusunan semula untuk memelihara nilai.

Pembuat urus niaga memperluaskan penilaian penciptaan nilai kepada sumber bukan tradisional 

Penciptaan nilai sumber bukan tradisional seperti kesan faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) semakin dipertimbangkan oleh pembuat urus niaga dan menjadi faktor kepada pembuatan keputusan strategik dan usaha wajar, kerana mereka memberi tumpuan kepada usaha melindungi dan memaksimumkan pulangan daripada penilaian tinggi dan permintaan yang sangat tinggi.

“Dengan keadaan modal yang banyak di luar sana, syarikat yang bagus menghasilkan gandaan tinggi dan memperolehnya. Jika ini berterusan – dan saya percaya hal ini akan berlaku – keperluan untuk menggandakan penciptaan nilai pada masa kini adalah lebih relevan untuk M&A yang berjaya,” kata Malcolm Lloyd, Ketua Urus Niaga Global, Rakan Kongsi, PwC Sepanyol.

Kesan pasaran IPO yang sangat popular terhadap M&A 

Enam bulan yang terakhir telah menyaksikan pemanfaatan bersungguh-sungguh oleh syarikat pemerolehan tujuan khas (SPAC) untuk menggabungkan modal pelabur bagi peluang pemerolehan dalam pasaran IPO yang amat aktif. Pada tahun 2020, SPAC telah mengumpul modal kira-kira $70 bilion yang menyumbang kepada lebih separuh daripada kesemua IPO AS. Firma ekuiti swasta telah menjadi pemain utama dalam peningkatan SPAC baru-baru ini, yang menjadi sumber alternatif modal yang berguna kepada mereka. Lebih banyak aktiviti SPAC dijangka berlaku pada tahun 2021, terutamanya yang melibatkan aset seperti infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik, penyimpanan kuasa dan teknologi penjagaan kesihatan.

Baca Global M&A Industry Trends PwC untuk maklumat lebih lanjut pada tahun 2020 dan 2021..

Nota 

Global M&A Industry Trends PwC ialah analisis aktiviti urus niaga global yang dikendalikan dua kali setahun dalam lima industri yang merangkumi — pasaran pengguna (CM), teknologi, media dan telekomunikasi (TMT), industri kesihatan (HI), tenaga, utiliti dan sumber (EU&R) serta pembuatan perindustrian dan automotif (IM&A).

Tentang PwC 

Di PwC, kami beriltizam untuk membina kepercayaan masyarakat dan menyelesaikan masalah penting. Kami merupakan sebuah rangkaian firma di 157 buah negara dengan lebih 276,000 kakitangan yang komited untuk memberi perkhidmatan jaminan, nasihat dan percukaian yang berkualiti. Ketahui lebih lanjut dan beritahu kami tentang perkara penting kepada anda dengan melayari kami di www.pwc.com.

PwC merujuk kepada rangkaian PwC dan/atau satu atau lebih ahli firmanya, masing-masing ialah entiti berasingan dari sudut undang-undang. Sila layari www.pwc.com/structure untuk maklumat lanjut.

© 2021 PwC. Hak Cipta Terpelihara.

Logo – https://ering.com.my/wp-content/uploads/2021/01/penilaian-penggabungan-dan-pengambilalihan-ma-melonjak-pada-separuh-kedua-tahun-2020-walaupun-covid-19-memberi-kesan-kepada-ekonomi-menurut-pwc.jpg

Keywords: Banking/Financial Service Computer/Electronics Publishing/Information Service Accounting news, issues Survey, Polls & Research Financial Technology

Source: PRNEWSWIRE

You might also like