
[Ura-Ura] : Imej Render iPhone 9 (SE 2) Bocor? Beri Gambaran Jelas Reka Bentuk Peranti?
Pada tahun 2017, Apple dikatakan melangkaui penjenamaan iPhone 9 seterusnya melancarkan iPhone X. Kini, muncul ketirisan yang memberi gambaran seakan-akan Apple bakal melancarkan iPhone 9 pada tahun ini – ia dijangka termasuk iPhone 9 dan iPhone 9 Plus. Lebih menarik, imej render peranti ini juga dikatakan mula dikongsi – sekaligus memberi gambaran jelas mengenai reka bentuk peranti.

Sumber menjangkakan iPhone 9 bakal muncul dengan dimensi sekitar 138.5 x 67.4 x 7.8mm bersama ketebalan bonggol kamera mencecah 8.6mm – kamera utama tunggal. Imej render juga menunjukkan peranti ini mungkin menyertakan bezel yang tebal pada bahagian atas dan bawah – paparan dijangka menggunakan paparan Liquid Retina LCD.

iPhone 9 mungkin membawakan nisbah aspek 16 : 9 dan dikatakan mempunyai sensor Touch ID yang lebih baik. Pun begitu, peranti ini mungkin tidak akan dilengkapi fungsi Face ID. Untuk dalaman, peranti ini berkemungkinan didorong oleh chipset Apple A13 Bionic bersama paduan memori 3GB RAM dan pilihan storan dalaman 64GB/128GB.

Pun begitu, maklumat tertiris masih lagi rumors dan belum diketahui kesahihannya. Adalah koranng berminat dengan model ini? Kongsi dengan kami dan kekal bersama eRing untuk lebih info terkini!

