
Bila sebut pasal HUAWEI, semua orang mesti excited. Yelah, HUAWEI sememangnya cukup terkenal dengan pelbagai produk yang bergerak pantas dalam industri teknologi. Kalau korang die hard fans tablet, korang kena tahu HUAWEI kini ada produk baru lagi iaitu HUAWEI MediaPad M6 10.8″! Fuhh power! Serius, korang memang kena cuba sendiri.

HUAWEI MediaPad M6 10.8″ : RM1,899
Bila penulis berpeluang mencuba tablet ni, terus rasa teruja gila sebab penulis akui tablet ni benar-benar menawarkan yang terbaik. Ia mempunyai badan logam dengan ketebalan 7.2mm serta berat sekitar 498 gram. Menariknya lagi, ia menyokong stylus pen (HUAWEI M-Pen Lite) dan boleh dihubungkan dengan papan kekunci pintar untuk diubah menjadi seakan – akan komputer riba. Tampak hebat kan?
Eh, Rekaan Luaran Awak Cantik!
Reka bentuk luaran HUAWEI MediaPad M6 10.8″ sememangnya harus dipuji kerana ia mempersembahkan tampilan yang premium. Tablet ini membawakan paparan bersaiz 10.8” bersama lengkungan pada keempat – empat bucu seterusnya diikuti dengan bingkai pada paparan yang agak tebal. Pada resolusi 2K (2560 x 1600), ketumpatan piksel mencapai 280ppi dan keseluruhannya masih nampak menarik. Cayalah!

Tablet ini turut membawakan sokongan pengimbas cap jari yang diletakkan pada skrin sebelah kanan. Sebagai aternatif, ia juga mempunyai sokongan pengimbas wajah yang responsif. Beralih pada bahagian sisi terdapat butang kuasa, butang kawalan suara, port pengecasan (USB Type-C) dan slot kad sim terletak pada bahagian kanan. Manakala, mikrofon dan pembesar suaran di letakkan pada sisi atas peranti.

Seterusnya, terdapat persediaan kamera utama tunggal pada belakang tablet – diletakkan pada sudut atas sebelah kiri. Jika diteliti, camera bump kelihatan sedikit menonjol. Secara keseluruhan, tablet ini mempunyai binaan yang kemas dan ergonomik – menjadikannya terasa sangat selesa untuk dipegang. Cuma, biasalahkan kalau dah namanya tablet mestilah saiznya agak besar. Betul tak?
Kuasa Dalaman Awak Hebatlah!
Untuk antaramuka, HUAWEI MediaPad M6 menggunakan antaramuka EMUI 9.1 berlandaskan Android 9. Untuk dalaman, tablet ini menggunakan cip pemproses Kirin 980 dengan paduan memori 4GB RAM + 128GB ROM. Sebagai tambahan, ia turut menyertakan sokongan kad microSD sehingga 512GB.

Pada masa sama, cip ini dilihat mencatatkan prestasi terbaik dalam industri. Sepanjang penggunaan, penulis mendapati segala tugasan harian dapat dijalankan dengan lancar. Pengalaman bermain game menggunakan tablet ini juga terasa memuaskan. Kami sempat menjalankan beberapa ujian penanda aras ke atas peranti menerusi aplikasi AnTuTu Benchmark sebagai rujukan. Hasil ujian adalah seperti di bawah :
Tidak cukup dengan itu, HUAWEI turut menyertakan sokongan pembesar suara terbaik daripada Harman Kardon pada tablet ini untuk gaya hidup lebih hebat! Menerusinya, pengalaman audio dan video menjadi lebih baik dan amat mengasyikkan umpama pengalaman yang tiada tandingannya. Tidak ketinggalan, ia turut menyokong teknologi Dolby Atmos. Kedua – dua sistem audio ini diselaraskan dengan teliti dan dioptimumkan untuk prestasi kualiti bunyi yang boleh dikatakan terbaik dalam industri tablet!

Kamera Awak Penuh Kejutan!
Untuk kamera, HUAWEI MediaPad M6 10.8″ dibekalkan dengan kamera utama sebesar 13MP (f/1.8) serta kamera selfie 8MP (f/2.0). Boleh dikatakan tablet tidak terlalu menjurus kepada keupayaan kamera, namun prestasinya tidak boleh diperlekehkan.
Kamera utama pada tablet ini mampu berfungsi dengan baik dan turut menyokong sejumlah ciri – ciri menarik lain termasuk pengesanan adegan (AI), Night Mode, video gerak perlahan 480fps dan sebagainya. Prestasi kamera hadapan juga boleh dipuji kerana ia berupaya menangkap gambar dengan baik bersama hasil yang memberangsangkan. Percayalah! Tablet ini juga berupaya menjadi teman selfie yang terbaik!
Awak Pun Ada Aksesori Tambahan Ke?
Seperti yang dinyatakan awal – awal tadi, HUAWEI MediaPad M6 10.8″ boleh diubahsuai menjadi seakan – akan sebuah komputer riba mini – di mana ia hadir dengan sokongan stylus yang dikenali sebagai HUAWEI M-Pen Lite dan papan kekunci pintar.

HUAWEI M-Pen Lite mempunyai tekanan kepekaan sehingga 2,048 – di mana dapat memberikan pengalaman penggunaan yang lancar pada tablet terutamanya ketika melukis. Secara keseluruhannya sokongan stylus ini menarik, tapi sayangnya HUAWEI M-Pen Lite menggunakan bateri AAAA untuk beroperasi. Mungkin boleh dianggap sedikit mengecewakan.

Aksesori seterusnya adalah papan kekunci pintar – yang mana juga didatangkan dengan penutup tablet. Papan kekunci ini perlu didapatkan secara berasingan. Jika diteliti, ia memiliki kekuatan magnet yang cukup kukuh. Terdapat tiga magnet bulat kecil pada papan kekunci ini – di mana boleh digabungkan dengan dengan bahagian bawah tablet untuk penggunaan seakan – akan sebuah komputer riba.

Besarnya Bateri Awak! Boleh Pakai Lama!
Untuk sokongan bateri, HUAWEI MediaPad M6 10.8″ menyertakan kapasiti yang sama seperti HUAWEI MediaPad M5 Lite iaitu sebesar 7,500mAh. Ia dipadankan dengan adapter pengecasan 18W. Dengan kapasiti ini, ia mampu bertahan sehingga dua atau tiga hari tanpa sebarang masalah dengan penggunaan biasa. Untuk proses pengecasan semula, ia didapati mengambil masa sekitar 2 jam dan 30 minit untuk penuh.

Apa Kata Editor?
Berdasarkan reviu di atas, dapat disimpulkan bahawa HUAWEI MediaPad M6 memiliki kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Untuk kelebihan secara jujurnya penulis berpuas hati dengan mod desktop yang dipaparakn kerana ia kelihatan setanding dengan komputer riba. Tambahan pula, ia didatangkan dengan papan kekunci pintar ternyata pengalaman itu sememangnya terbaik.

Paparan skrin juga harus dipuji – skrin pada resolusi 2K dengan persembahan yang sangat baik. Memang mantul! Tidak ketinggalan, kelebihan pada sokongan pembesar suara terbaik daripada Harman Kardon menjadikan tablet ini terlihat cukup gah. Bateri juga sangat mengagumkan dengan 7,500mAh. Dalam erti kata mudah, HUAWEI MediaPad M6 adalah tablet dengan serba serbi lengkap yang pastinya membuatkan korang lupa yang lain! Tak percaya? Kenalah cuba sendiri okay!












