
Samsung Galaxy A51 & Samsung Galaxy A71 Diperkenal – Sokong Paparan Infinity-O + 4 Kamera Utama + Android 10
Dalam diam rupa-rupanya Samsung kini muncul dengan dua lagi peranti – Samsung Galaxy A51 & Samsung Galaxy A71. Membawakan spesifikasi menarik bersama rekaan lebih fresh, kedua-dua peranti dilihat tampil dengan keunggulan tersendiri dalam kelasnya. Selain itu, sokongan kamera juga dilihat menerima peningkatan ketara.
Samsung Galaxy A51
Samsung Galaxy A51 membawakan paparan bersaiz 6.5″ FHD+ dengan panel Super AMOLED bersama pengimbas cap jari terbina pada skrin. Dalaman peranti dikuasakan oleh cip pemproses Exynos 9611 dengan paduan memori sebesar 6GB RAM + 128GB ROM.

Untuk kamera, Samsung Galaxy A51 membawa sokongan empat kamera utama yang disusun dalam bentuk L dengan gabungan lensa : 48MP (f/2.0) + 12MP (f/2.0) + 5MP (f/2.2) + 5MP (f/2.4). Manakala, kamera hadapan pula adalah sebesar 32MP – diletakkan pada lubang di bawah skrin seperti dilihat pada Note 10.

Melengkapi peranti adalah bateri berkapasiti 4,000mAh dengan pengecasan pantas 15W. Sistem operasi digunakan adalah Android 10 berasaskan One UI 2.0. Samsung Galaxy A51 ditawarkan di pasaran Vietnam pada harga 7,990,000 VND (kira-kira : RM1,440).
Samsung Galaxy A71
Samsung Galaxy A71 membawakan skrin bersaiz 6.7″ FHD+ Super AMOLED bersama sokongan pengimbas cap jari terbina pada paparan. Enjin dalaman peranti dikuasakan oleh cip pemproses Snapdragon 730 dengan bantuan memori 8GB RAM + 128GB ROM.
Untuk kamera, Samsung Galaxy A71 juga membawakan empat kamera utama dengan susun berbentuk L tetapi lensa utama adalah lebih besar iaitu 64MP + 12MP + 5MP + 5MP dan kamera swafoto pula sebesar 32MP. Melengkapi peranti, bateri berkapasiti 4,500mAh dengan pengecasan pantas 25W dan sistem operasi digunakan adalah Android 10 berasaskan antaramuka One UI 2.0.

Ketika pelancaran, harga untuk Samsung Galaxy A71 tidak pula diumumkan. Adakah kita bakal melihat ia ditawarkan untuk pasaran tempatan? Sama-sama kita tunggu. Kekal bersama eRing untuk lebih info terkini!

