Reviu Eksklusif realme X2 Pro : Si Hebat Dengan Prestasi Mengancam!

realme X2 Pro nampaknya telah berjaya menarik perhatian bukan sahaja peminat setia di Malaysia, bahkan juga di seluruh dunia. Mana tidaknya, spesifikasinya yang hebat dan dijual pada harga menggoda membuatkan orang ramai tergila-gila akan smartphone ini. Tapi kenapa eh? Okay, jom kita usha sikit…

realme X2 Pro (12GB + 256GB) : RM2,399

 

                           Prestasi Terbaik Snapdragon 855 Plus                     

Enjin dalaman realme X2 Pro diperkasakan dengan cip pemprosesan 7nm Snapdragon 855 Plus yang memiliki 8 teras Kryo bersama paduan GPU Adreno 640. Cip ini menerima peningkatan ketara berbanding generasi terdahulu – di mana ia menyokong paparan Snapdragon Elite Gaming dan Quad HD+ untuk pengalaman permainan terbaik. Realme X2 Pro turut menyokong teknologi HyperBoost 2.0 dan diselitkan dengan VC liquid cooling – sebagai pakej sempurna untuk si kaki gamers.

Selain itu, prestasi AI juga adalah tiga kali ganda lebih pantas. Menambah perisa, realme X2 Pro diselitkan lagi paduan memori super hebat iaitu 12GB + 256GB (storan berasaskan UFS 3.0). Kami juga sempat menjalankan beberapa ujian penanda aras ke atas peranti menerusi aplikasi AnTuTu Benchmark dan GeekBench 5 sebagai rujukan.

 

                             Pengecasan Pantas Berdesup                                

realme X2 Pro dibekalkan dengan sokongan bateri 4,000mAh yang masih boleh dikategorikan sebagai besar dalam kelasnya. Sokongan bateri ini menyokong AI Battery Management – di mana membantu menjimatkan kuasa bateri secara maksimum. Lebih gempaknya lagi, bateri ini disuntik dengan sokongan pengecasan pantas, 50W SuperVOOC Flash Charge – di mana mampu mengecas semula bateri sehingga 100% dalam hanya 35minit sahaja. Bagi ketahanan bateri pula, ia mampu bertahan sehingga sehari suntuk untuk penggunaan aktif. Manakala, penggunaan biasa pula mampu bertahan sekitar dua hari.

 

                        Prestasi Paparan Skrin Selembut Sutera                    

Bercakap soal peranti pintar, skrin merupakan salah satu aspek penting dalam pemilihan peranti terbaik. realme X2 Pro dibenamkan dengan paparan fluid AMOLED 90Hz – menjadikannya teknologi skrin paling lancar yang pernah digunakan oleh realme. Menerusi teknologi ini, realme X2 Pro berupaya menyajikan kadar bingkai lebih tinggi mencecah 50% tanpa lag berbanding sejumlah peranti sedia ada.

Menariknya lagi, ia juga menyokong HDR10+ bersama persembahan warna gamut asli. Pada masa sama, ia turut mendapat persijilan perlindungan TUV – di mana sangar membantu ketika membaca dalam gelap. Untuk rekaan, realme X2 Pro didatangkan dengan paparan bersaiz 6.5” Super AMOLED FHD+ (2,400 x 1,080 piksel) bersama kepadatan piksel sebanyak 402ppi. Skrin hampir penuh ini menyajikan nisbah skrin ke badan sebanyak 91.7% dan menggunakan sokongan Corning Gorilla Glass 5 sebagai perlindung utama.

 

             Pengimbas Cap Jari & Pengalaman Audio Sempurna         

realme X2 Pro dibekalkan dengan sokongan pengimbas cap jari terbina pada paparan dengan prestasi memuaskan dan berupaya menyahkunci peranti dengan responsif. Tetapannya juga boleh menyimpan lebih daripada satu cap jari dan pada masa sama, ia juga dilengkapi sokongan Face Unlock sebagai fungsi alternatif. Selain itu, realme X2 Pro juga berupaya menyajikan pengalaman audio yang sempurna menerusi sokongan dual speaker dengan sokongan Dolby Atmos dan Hi Res Sound Quality.

 

                      64MP Quad Camera Jadi Buruan Ramai                      

Bukan dua, bukan tiga tapi empat kamera! Sudahlah empat, lensa pun tak nak kalah. Eh? Kenapa? Ha, realme X2 Pro diselitkan dengan sokongan kamera utama sebesar 64MP – mampu menjalan tugas fotografi dengan baik di samping membawa pengguna berseni dengan lebih kreatif. Mengirinya adalah tiga lagi barisan lensa hebat dengan keupayaan masing-masing – 13MP telephoto (f/2.5) + 8MP 115 Wide – Angle (f/2.2) + 2MP Portrait (f/2.4).

Menariknya lagi, kamera ini menyokong sejumlah ciri menarik termasuk : 5x zoom optikal, 20x zoom hybrid, Nightscape 2.0 dan macro mode. Beralih pada kamera hadapan, realme X2 Pro disertakan dengan lensa sebesar 16MP (f/2.0) dengan menggunakan lensa 5P. Kamera hadapan ini diselitkan dengan teknologi AI Intelligent Beauty dan Selfie Nightscape untuk pengalaman selfie lebih sempurna.

Secara keseluruhannya, realme X2 Pro berupaya menyajikan prestasi fotografi yang baik – baik dari segi pencahayaan yang cukup mahupun rendah. Jika diteliti , persembahan warna dan butiran pada imej terlihat menarik dengan kemasan yang bagus. Sokongan zoom juga harus dipuji kerana ia mampu untuk menghasilkan imej yang baik. Berikut adalah hasil gambar daripada lensa realme X2 Pro :

 

                                              Apa Kata Editor?                                     

Sebagai kesimpulan, realme X2 Pro adalah teman sempurna buat mereka yang mengimpikan sebuah peranti lengkap dan sempurna. Bukan aspek fizikal atau luaran sahaja, bahkan dalaman juga diperkasakan dengan kuasa luar biasa. Bagi yang berminat, realme X2 Pro tersedia dalam dua warna menarik iaitu Lunar White & Neptune Blue, dengan harga RM2,399. Jangan lupa dapatkan sekarang! Baca PAUTAN INI untuk tawaran pembelian menarik.

You might also like