Xiaomi Dan IKEA Bekerjasama Untuk Pencahayaan Lebih Pintar!

Lei Jun [Founder, Chairman & CEO Xiaomi Corporation]

Xiaomi telah mengumumkan kerjasamanya dengan pengeluar barangan rumah terkenal, IKEA bagi membolehkan produk pencahayaan pintar IKEA berhubung dengan platform Internet of Thing (IoT) Xiaomi. Ia merupakan kerjasama pertama IKEA dengan syarikat teknologi dari China.

Sehingga 30 September 2018, platform IoT Xiaomi telah menghubungkan lebih 132 juta peranti pintar di lebih 200 negara di seluruh dunia. Pembantu pintar Xiaomi Xiao Ai pula telah diaktifkan melebihi 100 juta peranti dengan pengguna aktif melebihi 34 juta orang setiap bulan.

Koleksi produk pencahayaan pintar IKEA

Dengan kerjasama ini, pelbagai produk pencahayaan pintar IKEA boleh berhubung dengan platform IoT Xiaomi, sekaligus memudahkan pengguna untuk mengawalnya dengan menggunakan telefon pintar sahaja.

Kini, lampu-lampu IKEA juga boleh dipadankan dengan pelbagai telefon pintar Xiaomi untuk kawalan yang lebih menyeluruh. Produk pencahayaan ini akan berhubung dengan Mi Control Hub menerusi protokol ZigBee. Selain kerjasama dengan IKEA, Xiaomi turut mengumumkan kerjasama bersama Ji Hotel, CHJ Automotive serta Ikongjian.

Xiaomi akan melabur sebanyak RMB100 juta (kira-kira RM60.28 juta) ke Dana Pembangunan AIoT Xiaomi yang akan digunakan untuk menyokong pembangun AI, pembuat perkakas dan juga syarikat teknologi AI. Sebelum ini, Xiaomi telah berjaya menghubungkan lebih 1,000 produk pihak ketiga ke platform IoT Xiaomi.

You might also like