Nokia 3.1 Plus, Ditawarkan Pada Harga Bajet & Bateri Tahan Sehingga 2 Hari?!

1117

Rasanya baru sahaja Nokia 6.1 Plus dan 5.1 Plus diperkenalkan untuk pasaran tempatan. Terbaru, Nokia kembali dengan model baharu iaitu Nokia 3.1 Plus yang merupakan sebuah peranti permulaan untuk pasaran telefon pintar di bawah program Android One. Menampilkan paparan skrin bersaiz 6-inci tanpa takuk, ia menawarkan resolusi HD+ 1440 x 720 piksel dengan rekaan badan aluminium.

Berbanding Nokia 5.1 Plus dan Nokia 6.1 Plus, peranti ini memiliki spesifikasi yang lebih rendah seperti dikuasakan oleh pemproses MediaTek Helio P22 dengan pilihan 2GB atau 3GB RAM. Sementara storan ditawarkan bermula 16GB dan 32GB yang boleh diperluaskan melalui kad microSD. Dioperasikan Android Oreo, sudah semestinya peranti ini akan menerima Android Pie tidak lama lagi.

Pada bahagian penggambaran, Nokia 3.1 Plus menyediakan dwi-kamera utama 13MP f/2.0 dan 5MP untuk penggambaran bokeh yang boleh dilaras tahap kekaburannya. Pengimbas cap jari pula diletakkan di bawah lensa kamera sementara kamera depan pula dilengkapi sensor 8MP untuk swafoto lebih sempurna.

Ditawarkan dalam tiga pilihan warna

Nokia 3.1 Plus menyokong bateri sebesar 3,500mAh dan menurut Nokia ia mampu menawarkan penggunaan bateri sehinnga 48 jam. Sambungan pengecasan pula hanya tersedia port microUSB. Peranti ini dijual bermula di India pada harga INR11,500 (kira-kira RM646) seunit.