
Maxis Berhad mengumumkan kerjasama dengan pihak Google dimana melaluinya mereka menjalankan sesi latihan menggunakan program literasi digital Google bertajuk ‘Be Internet Awesome’ untuk lebih daripada 150 peserta mengenai keselamatan Internet.
Seperti dimaklumkan, para peserta terdiri daripada pengurus dan penolong pengurus dari Pusat Internet Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di seluruh negara dan sukarelawan Maxis.
Maxis dalam satu kenyataaan memberitahu pelatih yang baharu itu akan membantu untuk membimbing pelajar Maxis eKelas mengenai asas keselamatan dalam talian dan bagaimana untuk menjadi pengguna Internet yang yakin.
Kenyataan itu menambah, latihan itu sejajar dengan inisiatif ‘Klik Dengan Bijak’ oleh SKMM yang menyokong penggunaan Internet yang positif dan bertanggungjawab.
Program komuniti eKelas Maxis adalah inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah yang bertujuan meningkatkan prestasi akademik pelajar di kalangan masyarakat luar bandar, yang memfokus pada tiga mata pelajaran – Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris – untuk pelajar tingkatan satu, dua dan tiga.