
vivo V11 telah dilengkapi ciri yang dipanggil AI Game Mode dengan kemas kini terbaru. Mod ini akan diaktifkan sebaik pengguna membuka permainan di dalam telefon pintar ini, dalam masa sama akan menyekat sebarang mesej dan panggilan yang masuk. Ia bermakna pengguna masih menerima panggilan dan mesej, tetapi diletakkan sebagai notifikasi latar belakang.
Bagaimanapun, jika pengguna ingin kekal berhubung semasa bermain permainan mudah alih, pengguna boleh menggunakan ciri gerakan-tangan untuk membuka aplikasi permesejan misalnya WhatsApp sebagai tetingkap terapung. Untuk mengaktifkan tetingkap terapung, pengguna perlu leretkan tiga jari dan pilih aplikasi yang ingin dibuka selagi aplikasi tersebut menyokong ciri Picture-In-Picture.