
Celcom Axiata Bhd telah diiktiraf sebagai pengendali telekomunikasi pertama di dunia menerima persijilan piawaian ISO 18295-2:2017, yang merupakan standard antarabangsa untuk pusat hubungan.
Persijilan itu telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Standard dan Industri Malaysia (SIRIM) QAS International Sdn Bhd pada 20 September lalu sekaligus menjadikan Celcom antara syarikat terawal menerima persijilan ISO tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Mohamad Idham Nawawi dalam satu kenyataan berkata pengiktirafan itu adalah satu pencapaian kepada syarikat kerana ia mencerminkan dedikasi Celcom dalam memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan, yang turut melangkaui pengiktirafan antarabangsa.
Piawaian antarabangsa ISO standard 18295-2:2017 menjalankan audit dan mengiktiraf amalan terbaik dalam perkhidmatan pelanggan menerusi tiga dimensi iaitu pengurusan pusat hubungan pelanggan, penambahbaikan pengalaman pelanggan dan perkhidmatan pelanggan proaktif.
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan dan Pengalaman Pelanggan Celcom, Rene Werner pula berkata piawaian ISO terbaharu itu akan menjadi kayu ukur kepada dedikasi ditunjukkan oleh pasukan perkhidmatan pelanggan Celcom, dalam memacu penambahbaikan pengalaman perkhidmatan yang berterusan kepada pengguna.