
Celcom Axiata Berhad menjadi syarikat telekomunikasi pertama di Asia yang menawarkan Koble iaitu platform digital bagi padanan perniagaan ke perniagaan (B2B) kepada pelanggan perusahaannya.
Integrasi Koble dalam portfolio perkhidmatan Celcom Business membolehkan platform digital berkenaan mencipta rangkaian peluang perniagaan bagi perusahaan di Malaysia dalam saiz dan skop yang lebih luas.
Selain itu, platform digital tersebut juga membolehkan ahli perniagaan untuk meneroka, berhubung dan melancarkan urusan perniagaan mereka dengan pembeli dan pembekal dari seluruh negara.
Platform Koble direka untuk menggabungkan rangkaian sosial dengan kepintaran yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) dan individu yang seterusnya menambah baik pengurusan perhubungan antara pembeli dan penjual yang berpotensi serta yang ingin mengembangkan perniagaan mereka.
Pengguna Koble akan mempunyai akses kepada ciri yang ditawarkan secara percuma atau premium termasuk penyasaran, Readometer, perbualan tanpa mendedahkan identiti, perbandingan prestasi pesaing dan TrueReview dengan harga langganan bermula daripada RM40 sebulan.