

Xiaomi ada peranti baharu untuk anda! Redmi 6 dan Redmi 6A masih kekal dengan tawaran harga mampu milik, dengan spesifikasi yang boleh dikatakan memuaskan!
Redmi 6 hadir dengan paparan skrin 5.45 inci pada nisbah 18:9, skrin-ke-kerangka mencapai 80.5%. Panel belakang jenis polikarbonat tampil seperti permukaan logam dengan rekaan melengkung. Di sini terletaknya dwi kamera 12MP + 5MP dengan sokongan LED flash dan PDAF, sementara kamera hadapan 5MP disokong oleh mod potret AI.

Kuasa dalaman adanya cip pemproses MediaTek Helio P22 terkini, memori 3GB RAM dan 32GB ROM yang menyokong kad microSD sehingga 256GB. Kapasiti bateri sebesar 3000mAh diletakkan pada badan ini menjamin penggunaan masa panjang tanpa masalah.

Spesifikasi Redmi 6A pula lebih kepada pemula, ia hadir dengan cip pemproses MediaTek Helio A22, 2GB RAM dan 16GB ROM (sokong kad microSD sehingga 256GB). Bahagian kamera pula hanya satu lensa ditawarkan pada kamera utama iaitu 13MP dengan sokongan flash dan PDAF, manakala kamera hadapan yang juga berfungsi sebagai AI face unlock dibekalkan lensa 5MP.

Redmi 6 yang menyokong pengimbas cap jari dan AI face unlock ini ditawarkan pada harga RM499, melalui laman e-dagang Lazada dan Shopee, serta pengedar sah Xiaomi. Sementara Redmi 6A boleh didapat dengan harga RM349 melalui Lazada dan pengedar sah Xiaomi, kedua-dua peranti ini akan bermula dijual pada 25 Julai nanti.

