
Beberapa Laptop Terbaru Diperkenalkan Di Persidangan NextAcer 2018
Persidangan NextAcer yang berlangsung tengah malam semalam memperlihatkan beberapa produk kepada umum. Antara yang diperkenalkan ialah laptop dalam siri Swift, Chromebook, Tablet, dan siri permainan Predator yang kebanyakannya adalah model naik taraf.

Dimulakan dengan Swift 3, laptop ini direka nipis dengan papan kuasa Generasi ke-8 Intel Core i7 dan kad grafik berprestasi tinggi yang menawarkan bateri sehingga 10 jam.

Tidak dinafikan berat laptop menjadi salah satu faktor penting kepada pengguna. Terbaru, Swift 5 dianggarkan hanya seberat 0.97 kg. Ia dikuasakan pemproses Intel Core i7 Generasi ke-8 dengan paparan IPS LCD FHD dan RAM sebesar 16GB termasuk storan SSD seluas 1TB.

Manakala, Chromebook Spin 15 pula merupakan laptop boleh-pusing 360 darjah yang ditemani bateri tahan lama 13 jam disamping pad sesentuh Corning Gorilla Glass. Ia juga menyediakan aplikasi pra-pasang Google Play Store dan speaker stereo menghadap ke atas.

Untuk Chromebook 15, laptop ini hadir dengan ciri hiburan yang lebih imersif. Bateri yang dimasukkan pula menawarkan penggunaan selama 14 jam yang dioperasikan Chrome OS.

Beralih ke tablet, Acer turut memperkenalkan tablet pendidikan pertama dengan Chrome OS yang dinamakan Chromebook Tab 10. Tablet ini menyokong Google Expeditions AR dengan paparan beresolusi QXGA 2048 x 1536 piksel.

Acer yang terkenal dengan jenama Predator khusus untuk permainan kali ini menampilkan Helios 500 yang dilengkapi perkakasan dalaman berkuasa tinggi seperti cip Generasi ke-8 Core i9+, sokongan NVIDIA G-SYNC dengan kadar segar-semula 144Hz, kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1070 8GB GDDR5. Sistem penyejuk yang membantu mengawal suhu pula menggunakan dwi kipas AeroBlade 3D.

Sebuah lagi laptop permainan yang mengambil tempat di persidangan NextAcer ialah Helios 300 Special Edition. Laptop ini tidak terlalu ekstrem malah sistem dalaman yang lebih kasual hadir dengan Generasi ke-8 Intel Core i7 bersama NVIDIA GeForce GTX 1060. Rekaan yang agresif ini dalam masa sama didatangkan dengan warna yang lembut, putih susu dan emas. Kerangka badan logam ini juga disejukkan dengan dwi kipas AeroBlade 3D.

