
Xiaomi Mi Gaming Laptop – Komputer Gaming Pada Harga Mampu Milik!
Selain model Mi MIX 2S, Xiaomi turut mengambil peluang untuk melancarkan tiga model terbaru pada acara khas di Shanghai dan salah satunya adalah Mi Gaming Laptop.
Komputer riba yang memfokuskan kepada pengguna yang gemar bermain permainan ini menampilkan paparan skrin berukuran 15.6 inci HD penuh, yang ditawarkan dalam dua varian berbeza. Dikuasakan oleh pemproses Intel Core i7 atau i5, ianya diserikan dengan memori RAM 16GB atau 8GB serta storan sebesar 256GB SSD atau 1TB HDD dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1060 6GB ataupun GeForce GTX 1050 Ti 4GB.
Sepertimana kebanyakan komputer riba gaming yang ada di pasaran, papan kekunci Mi Gaming Laptop juga hadir dengan sokongan lampu RGB untuk memberi keseronokan semasa bermain permainan menggunakan komputer riba ini.
Bagi memastikan komputer riba ini berfungsi dengan optimum, sistem penyejukan yang direka khas digunakan bagi mengelakkan pemanasan. Lima paip haba turut digunakan dengan tiga pada CPU dan dua pada GPU. Terdapat juga sambungan USB-A 3.0, USB-C, HDMI, RJ45 serta port audio.

Mi Gaming Laptop akan dijual pada harga bermula RMB5999 (kira-kira RM3,698).


