
[Tertiris] Rekaan & Spesifikasi Samsung Galaxy A6 & Galaxy A6+

Pada penghujung tahun 2018, Samsung Malaysia telah memperkenalkan Samsung Galaxy A8 dan Galaxy A8+ (2018) yang mana hadir dengan rekaan premium dengan beberapa fungsi baru.
Terkini, tersebar beberapa gambar dan spesifikasi model terbaru Samsung iaitu Galaxy A6 dan Galaxy A6+ yang hadir dalam kategori pertengahan. Samsung Galaxy A6 bakal dikuasakan oleh pemproses Exynos 7870 yang sebelum ini digunakan oleh beberapa siri J. Hadir dengan paparan antaramuka Samsung Experience UI 9.0 berasaskan Android 8.0 Oreo, ia dilengkapi dengan RAM berkapasiti 3GB.

Berdasarkan kepada ketirisan gambar, Samsung Galaxy A6 menawarkan sokongan satu lensa kamera utama dengan sensor pengimbas cap jari yang terletak dibawahnya.
Manakala Samsung Galaxy A6+ pula akan dikuasakan oleh pemproses Qualcomm Snapdragon 625 bersama RAM sebesar 4GB. Lebih istimewa, telefon pintar ini menyokong penggambaran dwi-kamera dengan rekaan yang kelihatan mirip seperti Samsung Galaxy S9+.
Walaupun tiada banyak spesifikasi didedahkan, Samsung Galaxy A6 dan Galaxy A6+ berkemungkinan besar menyokong paparan skrin dengan nisbah 18:9 kerana tiada lagi butang Home pada panel depannya.