Reviu Eksklusif (Bah 2): Samsung Galaxy S9 – Bixby Lebih Pintar, Sistem Nyahkunci Cemerlang!

Samsung Galaxy S9 telah dilancarkan di pasaran Malaysia baru-baru ini. Masih ramai yang tertanya-tanya adakah peranti ini berbaloi untuk dimiliki? Jawapannya mungkin ada di dalam artikel ini. Apa yang membelenggu fikiran orang ramai ialah soal harga, jangan mudah melatah soal harga jika inginkan peranti serba lengkap dan serba canggih. Kita sudah sedia maklum harga peranti di pasaran global semakin hari semakin meningkat. Jika ada pilihan lain yang ditawarkan jauh lebih murah, jangan mudah meletakkan harapan kerana prestasi dan ciri yang disediakan tidak mungkin sama dengan Samsung Galaxy S9.

Baca juga:

Jika anda sudah ikuti reviu sebelum ini, kami telah selitkan maklumat spesifikasi dan intro mengenai rekaan serta bentuk fizikal Samsung Galaxy S9. Ada yang mementingkan sifat luaran dan ada juga tidak mengendahkannya – asalkan telefon itu mampu melakukan perkara yang diinginkan seperti contoh, bateri, paparan, audio, dan yang paling penting bahagian kamera.

 

APA YANG MENARIK?

Bixby

Sedia maklum Bixby merupakan pembantu maya yang memudahkan kehidupan seharian pengguna.

Bixby boleh memberitahu pengguna suhu dan cuaca apabila kamera dihalakan ke arah atas.

Integrasi Bixby telah dimasukkan ke dalam peranti Samsung sejak Galaxy S8 dihasilkan, pada masa itu ia hanya pada peringkat permulaan.

Halakan kamera ke bahagian lantai seterusnya ke bahagian sekeliling, Bixby akan memaparkan lokasi seperti contoh kedai makan, kedai runcit, pusat membeli-belah, restoran makanan segera dan lain-lain.

Kini, Bixby telah dinaik taraf dan lebih pintar selain menyokong beberapa ciri lain. Bixby boleh diakses dengan menekan butang khas tersedia di bahagian sisi kiri peranti.

Bixby boleh mengalihkan bahasa sekiranya kamera dihala pada perkataan yang ingin diterjemah.
Bixby boleh mengenal imej yang dirakam untuk memberi cadangan imej yang sepadan atau lebih kurang sama.

 

AR Emoji

AR Emoji ialah salah satu ciri baru yang dimuatkan bersama. Ia memberikan pengguna kelebihan untuk menggunakan kamera depan dan belakang untuk memasukkan imej avatar.

Terlebih dahulu untuk menggunakan AR Emoji, pengguna perlu mengimbas wajah. Selepas itu, proses mengambil beberapa saat untuk dijana seterusnya AR Emoji boleh digunakan.

Pengguna boleh memilih watak lelaki atau perempuan malah boleh memilih pakaian, kaca mata, warna rambut, warna kulit dan sebagainya untuk digunakan.

Avatar boleh di-customised mengikut kehendak

Jika watak yang disediakan tidak mencukupi, pengguna boleh mendapatkannya dengan proses memuat turun.

AR Emoji boleh dihiasi dengan sticker percuma dan berbayar

Bagi kami ciri realiti-gabungan (AR) ini tidaklah lancar seperti yang ditawarkan di peranti iPhone iaitu Animoji.

Contoh AR Emoji

 

Dolby Atmos

Dolby Atmos ialah teknologi dan konfigurasi audio yang dibangunkan oleh Dolby. Pada Samsung Galaxy S9, ia merupakan peranti pertama keluaran Samsung. Melaluinya, pengguna boleh melaras kualiti bunyi dan mod mengikut kesesuaian.

Dolby Atmos boleh diakses terus pada bahagian tetingkap notifikasi.

Misalnya untuk menonton filem, mendengar muzik, atau ucapan pengguna boleh menekan mod Movie, Music ataupun Voice. Mod Auto pula mengoptimumkan bunyi mengikut apa yang didengar.

 

Biometrik

Platfom keselamatan dikuasakan oleh Samsung Knox, pada kali ini Samsung memanggil Intelligent Scan yang menggabungkan imbasan mata dan pengecaman wajah untuk hasil yang lebih cepat dan tepat.

LED merah akan menyala menandakan sensor sedang membuat Intelligent Scan.

Ia membantu pengguna menyahkunci dengan mudah tidak kira di bawah cahaya matahari atau di dalam bilik tidur dengan cahaya malap.

Intelligent Scan adalah sistem nyahkunci yang paling efisyen digunakan berbanding kaedah konvensional seperti pengimbas cap jari, PIN, paten dan kata laluan.

Selain itu, pengguna boleh memilih cara lain untuk membuka peranti dengan menggunakan pengimbas cap jari, PIN, paten dan kata laluan.

 

Android 8.0 Oreo

Seperti kebanyakan peranti tahun 2018, Samsung Galaxy S9 dioperasikan Android 8.0 Oreo dengan antaramuka Samsung Experience 9.

Antaramuka Samsung Experience 9 yang kebiasaan dilihat pada kebanyakan peranti induk lain Samsung

Secara kasar, antaramuka ini tidak banyak menerima perubahan.

Banyak pilihan wallpaper dan tema boleh dipilih

Pengguna boleh menukar wallpape-r baru di samping konfigurasi Always-On-Screen (AOD), bentuk ikon dan tema.

 

Samsung DeX

Bagi golongan yang mementingkan produktiviti, telefon ini boleh dihubungkan bersama Samsung DeX.

Samsung DeX tidak didatangkan di dalam kotak pembungkusan, bagaimanapun ia boleh dibeli secara berasingan.

Ia merupakan dok yang membolehkan pengguna melakukan kerja pejabat melalui skrin besar hanya menggunakan Samsung Galaxy S9 / S9+ malah, ia boleh ditukar menjadi sebuah trackpad.

 

Kuasa Dalaman

Samsung Galaxy S9 merupakan antara peranti yang terawal di pasaran menawarkan cip terbaru Samsung Exynos 9810 Octa-core. Cip terbaharu ini sarat dengan teknologi terkini dan ia dibina berlandaskan cip 10nm 64-bit yang mampu menjimatkan kuasa penggunaan.

Cip berkuasa Exynos 9810 sesuai untuk kaki gamer yang gemarkan permainan bergrafik tinggi

Pemproses ini ditemani RAM sehingga 6GB, yang mampu melakukan pelbagai tugasan dalam satu-satu masa. Ujian benchmark yang dilakukan mendapati peranti ini berupaya memberi skor lebih tinggi berbanding peranti Android yang lain.

Cuba lihat skor yang direkodkan di bawah: 

Rata-rata dalam semua ujian benchmark, Samsung Galaxy S9 berada di tempat pertama mengalahkan peranti hangat lain di pasaran.

 

Bateri

Jika dibandingkan dengan Samsung Galaxy S8, peranti ini tidak menerima sebarang perubahan dari segi kapasiti bateri. Ia dibekalkan kapasiti dengan jumlah yang sama, akan tetapi pemprosesan yang dilakukan jauh lebih efisyen dan menjimatkan kuasa.

Bagaimana pula teknologi pengecasan? Samsung Galaxy S9 menyokong pengesan pantas Adaptive Fast Charging versi yang boleh didapati pada Galaxy S8 – jadi masa pengecasan antara kedua-dua peranti tidak banyak beza.

Jika anda inginkan ketahanan yang lebih panjang, model S9+ lebih tahan lama berbanding biasa. Ia juga mempunyai bateri lebih besar, kami yakin ia boleh memberi penggunaan sepanjang hari.

 

ULASAN…

Sepanjang menggunakan Samsung Galaxy S9, peranti ini dapat melaksanakan tugasan seperti telefon pintar lain. Apa yang menarik hati kami ialah fungsi Bixby dan sistem keselamatan (Intelligent Scan) yang stabil dan cemerlang.

Selain itu, sistem audio betul-betul membuatkan kami ‘leka’ mendengar lagu serta menonton filem. Akan tetapi, peranti ini cepat mengeluarkan haba walaupun aplikasi latar belakang dipadamkan – mungkin disebabkan perisian pada peringkat awal. Bagaimanapun, kami mengharapkan pada masa akan datang Samsung akan memperbaiki perisian sedia ada sebaiknya bagi mengoptimumkan prestasi keseluruhan Samsung Galaxy S9.

Pada hemat kami, untuk harga RM3,299 ia agak berbaloi untuk dimiliki. Pertama sekali, cip pemproses yang digunakan adalah yang terkini – masih banyak masa untuk pengeluar dan pembangun menghasilkan aplikasi dan ciri yang lebih baik. Kedua, Samsung berjaya menala dua speaker atas dan bawah dengan baik. Ketiga, penggambaran pada waktu malam tidak boleh ditandingi oleh mana-mana peranti.

 

Hasil gambar pula kami akan kongsikan pada artikel seterusnya. ~ Jangan marah haa…

 

 

You might also like