
Samsung telah mengemas kini barisan peranti mereka, pada kali ini menampilkan Samsung Galaxy S9 dan S9+. Kami yang berkesempatan untuk membuat ulasan berpeluang untuk memegang model yang kecil iaitu Samsung Galaxy S9. Sekali imbas, ia seakan sama seperti generasi yang terdahulu, tetapi jika diteliti telefon ini mengalami perubahan yang ketara dari segi luaran dan juga dalaman.

Samsung Galaxy S9 merupakan telefon pintar flagship yang hadir dengan teknologi terkini. Apa yang mencuri tumpuan kami ialah bahagian kamera yang dibekalkan kini antara kamera telefon pintar yang terbaik di pasaran. Sebelum itu, kami ingin berkongsi berkenaan harga yang ditawarkan di Malaysia. Bagi anda yang ingin memiliki Samsung Galaxy S9, anda perlu mengeluarkan wang sekurang-kurangnya… RM3,299.
SPESIFIKASI
FIZIKAL
Skrin
Samsung Galaxy S9 masih mengekalkan identitinya, skrin melengkung masih boleh dilihat pada paparan Infinity Display bersaiz 5.8-inci ini.

Pada resolusi setinggi 2K, kandungan tampak lebih realistik bersama bezel yang nipis. Paparan juga menyokong format HDR10 khusus untuk melaras ketepatan warna.

Bagi memudahkan pengguna, ciri Always-On-Display (AOD) yang tersedia dapat memaparkan masa, tarikh dan notifikasi.
Audio
Bagi menambah pengalaman hiburan ke tahap lebih tinggi, Samsung telah meletakkan dua speaker di atas dan di bawah peranti. Ia sekaligus menawarkan audio yang menyeluruh ditala sepenuhnya daripada jurutera AKG (syarikat audio terkemuka).

Tidak cukup dengan itu, kedua-dua speaker menyokong teknologi Dolby Atmos untuk memberikan bunyi sekeliling yang mengasyikkan.
Rekaan

Samsung Galaxy S9 mempunyai identiti yang tersendiri, ia hadir dengan rekaan ergonomik bersama panel belakang gelas serta kerangka aluminium tahan lasak.

Posisi butang dikekalkan pada tempat asal, cuma apa yang boleh dikatakan ianya lebih selesa dipegang berbanding model terdahulu. Kami percaya ini disebabkan Samsung Galaxy S9 direka lebih tebal dan lebih berat.

Namun begitu, rekaan berkilau yang dihasilkan oleh Samsung masih gagal dari segi permukaan – kami maksudkan ia cepat kotor kerana kotoran jari mudah terperangkap.

Sokongan Slot Hibrid
Salah satu keperluan lain yang dimasukkan ialah slot hibrid yang boleh digunakan untuk pengguna memasukkan kad SIM kedua atau menyumbat kad microSD sehingga 400GB.

Ia merupakan ciri penting jika anda seorang yang mementingkan storan tambahan lebih-lebih lagi yang gemarkan fotografi dan videografi.
Kamera Utama
Pertama kali dalam sejarah telefon pintar, Samsung telah meletakkan sensor kamera dengan aperture boleh-laras. Bukaan aperture boleh-laras ini membenarkan kamera untuk mengambil gambar mengikut persekitaran.

Misalnya dalam cahaya malap, kamera secara automatik akan menukar aperture kepada f/1.5 manakala pada cahaya terang ia akan menukar kepada aperture f/2.4. Walaupun Samsung Galaxy S9 didatangkan dengan satu kamera utama, ia sama sekali tidak menjadi masalah untuk mengambil foto pada bila-bila masa.
Lensa Depan
Samsung tidak mengecualikan pengalaman fotografi pada kamera depan, ia dilengkapi sensor yang baik untuk pengguna merakam gambar swafoto berlatar belakang kabur selain swafoto dengan sudut lebar.

Di samping itu, untuk kali pertama dalam barisan peranti Samsung, peranti ini menyediakan ciri AR Emoji di mana pengguna boleh menggunakan avatar atau watak kartun untuk dihantar kepada kenalan.
ULASAN PRA-AKHIR….
Bagi kami dari segi luaran Samsung Galaxy S9, para jurutera Samsung telah melakukannya dengan baik. Keutuhan bahan binaan menampakkan peranti ini kacak dan premium.
Namun, cuma ada sedikit masalah yang dihadapi apabila peranti sukar untuk diangkat dari permukaan rata seperti meja. Ia hampir terjatuh semula dan tidak mendapat gengaman yang baik. Bagaimanapun itu cuma isu kecil dan kami rasakan kelebihan lain mampu untuk menutup kelemahan ini.
Nanti dulu! Reviu ini belum berakhir, kami akan kongsikan lagi berkenaan prestasi dalaman serta hasil gambar daripada kamera ‘terbaik’ daripada Samsung ini.
~Kekal bersama!~


