Samsung Galaxy S9 Dan S9+ Dilancarkan Dengan Perkakasan Terbaru Dan Bezel Nipis

Penantian peranti terbaru Samsung kini telah berakhir dengan kemunculan Samsung Galaxy S9 dan S9+ di acara Unpacked di MWC 2018 awal pagi tadi. Ia sekaligus telah mengemaskini portfolio syarikat gergasi Korea tersebut.

https://www.youtube.com/watch?v=5_-NKRVn7IQ

Dua peranti yang diperkenalkan didatangkan dengan sejumlah ciri terbaru dengan perkakasan dalaman lebih baik. Ia masih mengekalkan identiti dan rekaan luaran siri-S yang terdapat pada Galaxy S8 tahun lalu. Kini kedua-duanya memiliki ruang bezel lebih nipis.

Samsung Galaxy S9 dipadankan skrin Infinity Display 5.8-inci Super AMOLED beresolusi Quad HD dengan nisbah 18:9. Ia dimuatkan dengan cip pemproses terbaru Exynos 9810 dan RAM sebesar 4GB dan storan bermula 64GB.

Pada bahagian kamera, Galaxy S9 dibekalkan satu kamera di belakang 12 Megapiksel dengan aperture boleh-laras f/1.5 dan f/2.4. Difahamkan aperture ini akan digunakan mengikut persekitaran sekeliling iaitu f/1.5 untuk kegunaan cahaya malap, sementara f/2.4 untuk kegunaan cahaya terang. Selain itu, dimuatkan kamera depan 8 Megapiksel dan bateri berkapasiti 3,000mAh.

Samsung Galaxy S9+ pula hadir dengan saiz badan yang lebih besar. Varian ini didatangkan dengan skrin bersaiz 6.2-inci menggunakan teknologi skrin yang sama seperti varian asas. Untuk perkakasan dalaman, ia masih dikuasakan cip Exynos 9810 tetapi, perbezaan boleh dilihat pada kapasiti RAM iaitu 6GB dengan storan bermula 64GB.

Pertama kali untuk siri-S, varian ini dilengkapi dengan dwi kamera utama. Kombinasi sensor 12 + 12 Megapiksel dengan aperture f/1.5 dan f/2.4 boleh-laras juga menyediakan lensa telefoto – sensor kamera Galaxy Note8 yang dinaiktaraf. Manakala, kamera 8 Megapiksel diberikan pada bahagian depan untuk berswafoto disamping bateri sebesar 3,500mAh.

Samsung juga telah menaik taraf perkakasan lain. Kini, kedua-dua peranti menyokong sokongan kalis air dan debu IP68, NFC, Bluetooth 5.0 dan speaker stereo berteknologi Dolby Atmos yang ditala AKG yang dimiliki Samsung. Dikatakan speaker ini 40 peratus lebih kuat berbanding model terdahulu. Disamping itu, ia juga menyokong rakaman video gerak-perlahan sehingga 960fps dan rakaman 4K pada 60fps.

(kiri) AR Emoji dan pengimbas mata

Ciri dalaman pula, Samsung telah memasang AR Emoji untuk permesejan, KNOX terbaru, sistem keselamatan pengimbas pintar untuk mata, dan pengecaman wajah.

Samsung Galaxy S9 dan S9+ dikemaskan dengan pilihan warna Midnight Black, Coral Blue, Titanium Gray, dan Lilac Purple. Untuk makluman pasaran Amerika Syarikat dan China, Samsung Galaxy S9 dan S9+ akan didatangkan dengan cip pemproses Snapdragon 845.

You might also like