
Minggu lepas eRing ada bawakan artikel berkenaan pelancaran OPPO F5 Dashing Blue. Pada masa itu pihak OPPO masih belum mengumumkan harga jualannya. Terbaru, OPPO Malaysia kini mengumumkan harga rasmi untuk OPPO F5 Dashing Blue. Peranti ini dijual pada harga RM1,298 iaitu harga yang sama pernah dijual untuk model OPPO F5 versi sebelumnya.

Bagi anda yang sudah berkenan dengan peranti ini. Ia boleh mula di pra-tempah di platfom e-dagang Lazada, 11street, dan Shopee bermula 5 Februari 2018 (hari ini). Tidak kurang dengan itu, sempena Hari Kekasih yang akan disambut minggu hadapan, pelanggan juga akan menerima kotak hadiah eksklusif berwarna biru.
Kotak hadiah ini merupakan satu sarung pelindung peranti edisi istimewa kristal Swarovski untuk 500 pelanggan terawal. Pembeli juga ditawarkan perkhidmatan ukiran laser untuk nama di bahagian belakang sarung istimewa ini.
Jika anda memang sukakan pada warna biru, OPPO F5 Dashing Blue adalah pilihan yang tepat. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari Facebook OPPO Malaysia atau beli terus di stor rasmi OPPO Malaysia.

