Jam Pintar Fitbit Ionic Berharga RM1,399 Dilancarkan di Malaysia

Fitbit yang terkenal dengan penawaran jam boleh pakai dunia kali ini melancarkan produk terbaru iaitu Fitbit Ionic ke pasaran Malaysia. Peranti ini akan berada di bilik pameran Harvey Norman, All IT Hypermarket, AONE Plus, Best Denki, Timekeeper, dan Thunder Match Technology tidak lama lagi.

Fitbit Ionic merupakan jam pintar yang boleh memantau kesihatan dan aktiviti kecergasan. Ia dilengkapi sensor degupan jantung serta GPS yang mampu menyokong penggunaan dalam keadaan hujan ataupun di dalam air pada kedalaman sehingga 50 meter. Bukan setakat itu, ia juga boleh dijadikan sebagai alat untuk membuat pembayaran tanpa tunai, memainkan lagu, memaparkan notifikasi, dan memainkan aplikasi popular. Pengguna juga boleh mengubah antaramuka mengikut gaya hidup tersendiri menerusi aplikasi galeri yang disediakan.

Fitbit Ionic sesuai digayakan oleh semua lapisan masyarakat tidak kira mereka yang bekerja di pejabat ataupun seorang atlet sukan. Ia secara umumnya dapat membantu pengguna memastikan diri sentiasa dalam keadaan cergas dan sihat. Peranti boleh pakai ini mampu memberikan waktu penggunaan sehingga 5 hari dengan sekali pengecasan termasuk 10 jam dalam memainkan muzik (GPS).

Fitbot Ionic menawarkan beberapa mod seperti Fitbit Coach untuk cara-cara senaman, Running Companion untuk memantau larian, dan Swim Exercise bagi mereka yang sukakan senaman di dalam air. Peranti ini juga tahan lasak menerusi teknologi acuan kerangka berteknologi nano serta tali getah berkualiti tinggi.

Fitbit juga berkesempatan memperkenalkan Fitbit Flyer, iaitu sebuah fon kepala tanpa wayar yang boleh disesuaikan bersama Fitbit Ionic. Fon kepala ini tahan lasak, kalis peluh, dan memiliki bunyi berprestasi tinggi. Kombinasi kedua-dua produk sekaligus memudahkan pengguna mendengar muzik walaupun latihan senaman sedang dilakukan.

Serentak dengan itu, Fitbit juga memperkenalkan Fitbit Aria 2. Ia sebuah alat penimbang berat dengan fungsi WiFi. Aria 2 direka untuk memberi ketenangan minda kepada pengguna untuk memantau berat badan terus melalui telefon pintar. Dengan sambungan Bluetooth, pengguna boleh menyemak berat badan dan BMI (indeks jisim badan) menggunakan aplikasi Fitbit.

Ketiga-tiga produk akan mula dipasarkan 21 Januari 2018 di wakil penjual sah yang terpilih. Fitbit Ionic, Fitbit Flyer, dan Fitbit Aria 2 masing-masing dijual pada harga RM1,399, RM590, dan RM620 seunit.

You might also like