Apple Cuba Mengambil Hati Pemilik iPhone Dengan Menawarkan Diskaun Untuk Penukaran Bateri Dan Kemas Kini Baharu

Berikutan kontroversi yang tercetus gara-gara Apple secara diam-diam telah memperlahankan prestasi iPhone seperti yang telah eRing kongsikan sebelum ini, nampaknya Apple telah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk mengambil semula hati pemilik iPhone bagi memperolehi semula kepercayaan mereka terhadap mereka.

Melalui kenyataan rasmi yang telah dikongsikan di laman rasminya, Apple dikatakan telah mengambil pendekatan untuk memperlahankan prestasi iPhone bagi mengelakkannya daripada terpadam secara tiba-tiba. Menurut Apple perkara ini terjadi disebabkan oleh bebanan pada pemproses boleh mengakibatkan peranti yang memiliki kapasiti bateri yang rendah akan dimatikan dengan sendirinya untuk situasi tertentu.

Tambah Apple lagi, pendekatan untuk memperlahankan prestasi iPhone telah dibuat pada kemas kini iOS 10.2.1 untuk memperbaiki pengurusan tenaga ini sebenarnya telah dibuat setahun yang lalu pada iPhone 6, iPhone 6 Plus, iPhone 6s, iPhone 6s Plus, dan juga iPhone SE. Manakala sokongan yang sama telah diimplementasikan pada kemas kini iOS 11.2 untuk peranti iPhone 7 dan iPhone 7 Plus.

Diskaun untuk penukaran bateri

Bagi tujuan mengambil semula hati pengguna, Apple telah mengumumkan penurunan harga penggantian bateri untuk iPhone yang tidak lagi memiliki waranti sebanyak USD50 di seluruh dunia. Ini bermakna pemilik iPhone 6 dan ke atas boleh menukar bateri pada harga antara USD29 hingga USD79 bermula dari penghujung Januari 2018 ini hingga ke bulan Disember 2018 nanti.

Kemas kini iOS untuk memantau bateri

Selain itu, Apple juga telah berjanji akan mengeluarkan kemas kini terbaru untuk peranti iOS pada awal tahun 2018 nanti bagi membolehkan pengguna untuk memantau bateri, sekaligus membolehkan mereka melihat sendiri sama ada keadaan bateri itu akan mempengaruhi prestasi peranti.

You might also like