
HARGA: RM 2,299
Nokia sememangnya sudah tidak perlu diperkenalkan lagi kerana ia merupakan salah satu jenama yang sangat gah satu ketika dahulu. Kini nampaknya Nokia sekali lagi telah membuat kehadiran semula di pasaran tempatan dengan kemunculan model flagship terbarunya iaitu Nokia 8.
**Kemas Kini >> Nokia 8 Terima Kemas Kini Android Oreo!
Apa yang pasti, Nokia 8 pastinya akan menggugat model flagship sedia ada di pasaran kerana pada harga yang mampu milik, ia menampilkan sokongan spesifikasi yang sangat berkuasa. Ingin tahu apakah keistimewaan Nokia 8 jika dibandingkan dengan peranti lain yang dijual dalam kategori harga yang setanding dengannya?! Kami akan mendedahkan 8 ciri-ciri menariknya seterusnya…
SPESIFIKASI
PRESTASI
- Sistem Operasi : Android 7.1.1 Nougat
- Cipset : Qualcomm MSM8998 Snapdragon 835
- CPU : Octa-core (4x 2.5GHz Kryo + 4x 1.8GHz Kryo)
- GPU : Adreno 540 @ 710MHz
- Semikonduktor : 10nm FinFET LPE
MEMORI
- ROM : 64GB (UFS 2.1)
- RAM : 4GB (LPDDR4X)
- microSD : sehingga 256GB
PAPARAN
- Skrin : 5.3 inci IPS LCD
- Resolusi : 1440 x 2560 piksel
- Jenis paparan : 2.5D Corning Gorilla Glass 5
- Kepadatan piksel : 554ppi
DIMENSI
- Ukuran : 151.5 x 73.7 x 7.9mm
- Berat : 160g
KAMERA UTAMA
- Dwi lensa : 13 Megapiksel (RGB + OIS) + 13 Megapiksel (Mono)
- Aperture : f/2.0
- Saiz piksel : 1.12 um
- Jenis fokus : PDAF + Inframerah
- Flash : Dual Real Tone LED Flash
KAMERA DEPAN
- Lensa : 13 Megapiksel
- Aperture : f/2.0
- Saiz piksel : 1.12 um
- Jenis fokus : PDAF
BATERI
- Jenis : Lithium Ion
- Kapasiti : 3090mAh
- Teknologi pengecasan : Quick Charge 3.0
SAMBUNGAN
- 4G LTE : Cat9 (450 Mbps / 50 Mbps)
- WiFi : 802.11 a/b/g/n/ac (MIMO)
- Bluetooth : Bluetooth 5
- NFC : Ada
- USB : Type-C (USB 3.1)
- Port audio : 3.5mm audio jack
- Penglokasian : GPS, A-GPS, GLONASS, BDS
SLOT KAD
- Slot 1 : nanoSIM
- Slot 2 : nanoSIM / microSD
KETAHANAN
- Pengiktirafan : IP54
- Ketahanan : Kalis percikan air dan debu
SENSOR
- Pengimbas cap jari, Ambient light, Proximity, Accelerometer, E-compass, Gyroscope, Hall sensor, Barometer
PAKEJ PEMBELIAN
REKA BENTUK
Paparan Skrin
Sudah menjadi trend pengeluar untuk memperkenalkan peranti flagship mereka dengan sokongan paparan skrin besar melebihi 5.5 inci.
Namun, Nokia 8 mengambil pendekatan berbeza apabila ia hanya menyokong paparan skrin sebesar 5.3 inci sahaja. Sungguhpun begitu, paparan skrin beresolusi 2K (1440 x 2560 piksel) sememangnya kelihatan sangat jelas dengan keterangan mencecah 700 nits.
Bezel Atas
Sebagaimana kebanyakan peranti keluaran Nokia yang lain, kedudukan logo ‘Nokia’ masih dikekalkan pada bahagian atas kanan. Di tengah-tengah bezel bahagian atas ini menempatkan lubang earpiece dan di sebelah kirinya pula tersedia lensa depan beresolusi 13 Megapiksel dengan fokus jenis PDAF yang sangat pantas. Agak mengecewakan tiada lampu status LED tersedia pada Nokia 8.
Bezel Bawah
Bahagian bezel bawah Nokia 8 telah dioptimumkan ruang yang ada dengan dua butang kapasitif dengan nyalaan LED berwarna putih iaitu butang Back dan juga Recent Apps.
Manakala di tengah-tengahnya terdapat sensor pengimbas cap jari yang juga berfungsi sebagai butang Home. Apa yang menariknya, anda boleh mengaktifkan paparan skrin dengan menyentuh sensor ini walaupun dalam mod standby.
Dwi Lensa
Sama seperti sistem kamera yang digunakan oleh Huawei, Nokia 8 turut menyokong dwi lensa yang terdiri dari satu lensa RGB dan satu lensa Monokrom.
Kedua-dua lensa ini beresolusi 13 Megapiksel diletakkan secara menegak dan lebih istimewanya, Nokia kini kembali menggunakan lensa ZEISS. Pada bahagian ini juga turut menempatkan Dual Real Tone LED Flash dan juga fokus Inframerah.
Port Audio
Nokia 8 merupakan antara model flagship yang masih mengekalkan port 3.5mm audio jack dan ia ditempatkan di bahagian atas kerangka. Bahkan Nokia juga bijak menyembunyikan jalur antena yang diperbuat daripada plastik ini pada bahagian atas kerangkanya.
Selain daripada kedudukan jalur antena yang agak tersembunyi, Nokia dilihat berjaya menyatukan antara bahagian plastik dengan logam dengan sangat baik sekali.
Port USB & Speaker
Sama seperti rekaan pada bahagian atas kerangka, bahagian bawah kerangka Nokia 8 juga hadir dengan jalur antena yang diperbuat daripada plastik.
Pada bahagian ini telah menempatkan satu lubang mikrofon, port USB Type-C dan juga speaker mono dengan rekaan dua lubang berasingan.
8 KEISTIMEWAAN NOKIA 8
Penawaran pelbagai jenama dan model peranti Android di pasaran sememangnya sangat baik kerana ia memberikan lebih pilihan kepada pengguna, tetapi dalam masa yang sama ia juga sebenarnya boleh membuatkan ramai daripada anda yang pening kepala untuk memilih peranti mana yang terbaik dengan bajet harga yang ada.
Jadi sekiranya anda sedang mencari peranti Android untuk dibeli atau bercadang untuk memiliki Nokia 8, kami akan berkongsi dengan anda 8 keistimewaan Nokia 8 yang perlu anda tahu…
#1. Rekaan Premium
Nokia sememangnya terkenal dengan rekaan peranti klasik yang ringkas tetapi sangat baik kemasannya. Nokia 8 juga tidak terkecuali kerana jelas ia mengekalkan rekaan siri Lumia yang sangat popular sebelum ini dengan panel belakang yang diperbuat daripada aluminium. Manakala panel depannya pula dilindungi dengan paparan jenis Corning Gorilla Glass 5 yang menjanjikan ketahanan yang lebih baik.
Apa yang menarik perhatian kami adalah, bahagian sambungan antara panel belakang aluminium dan juga panel depan kaca jenis 2.5D pada Nokia 8 ini terasa sangat sempurna kerana ia terasa begitu selesa dipegang.
#2. Spesifikasi Terbaik
Walaupun dijual pada harga yang kompetitif, Nokia 8 sememangnya tidak mengecewakan kerana ia menyokong spesifikasi terbaik setanding peranti flagship lain yang dijual pada harga yang jauh lebih mahal. Ini dapat dilihat melalui sokongan pemproses berkuasa dari Qualcomm Snapdragon 835, ROM 64GB (UFS 2.1) serta RAM 4GB (LPDDR4X) yang pantas, dilengkapi dengan slot kad microSD, dan lebih istimewanya ia turut menerima pengiktirafan IP54 yang kalis pada percikan air.
Bahkan jika dilihat pada keputusan ujian benchmark yang dijalankan, jelas dapat dilihat bahawa Nokia 8 menyokong prestasi yang setanding dengan peranti flagship yang juga dikuasakan oleh Qualcomm Snapdragon 835 dengan harga jualan melebihi RM3000 iaitu HTC U11 dan juga Sony Xperia XZ Premium.
#3. Paparan Skrin 2K
Apabila diambil kira soal harga jualan yang mampu milik, sesetengah pengeluar mengambil pendekatan untuk menggunakan pendekatan ‘win some, lose some’. Ini bermakna ada sesetengah peranti hadir dengan pemproses berkuasa tetapi hanya menyokong skrin beresolusi 1080p (OnePlus 5 dan Xiaomi Mi 6), manakala sesetengah peranti dengan sokongan paparan skrin 2K hanya dikuasakan dengan pemproses kelas pertengahan (Lenovo PHAB 2 Pro).
Nokia 8 sebaliknya tidak menggunakan pendekatan seperti itu kerana ia bukan sahaja tampil dengan paparan 5.3 inci IPS LCD beresolusi 2K, tetapi turut dikuasakan dengan pemproses berprestasi tinggi.
#4. Antaramuka Asal Android

Salah satu kelebihan Nokia 8 berbanding peranti lain di pasaran adalah sokongan antaramukanya yang mengekalkan antaramuka asal Android 7.1.1 Nougat. Malah ia juga tidak didatangkan dengan bloatware atau aplikasi pra-pasang yang tidak akan digunakan oleh pengguna.

Apa yang pasti persembahan antaramuka asal ini sememangnya menjanjikan pengalaman penggunaan yang lebih baik dan tidak cukup dengan itu, Nokia 8 juga turut menyokong fungsi Always-On-Display (AOD) yang akan memaparkan peratus bateri, masa, tarikh dan juga notifikasi.
#5. Dwi Lensa ZEISS
Nokia 8 mungkin tidak memiliki rekaan skrin tanpa bezel sebagaimana sesetengah peranti flagship yang terdapat di pasaran, tetapi ia tidaklah begitu mengecewakan kerana Nokia 8 masih mengikuti trend semasa dengan sokongan dwi lensa beresolusi 13 Megapiksel. Berbeza dengan sistem kamera yang digunakan pada iPhone 7 Plus yang menyokong satu lensa sudut luas dan satu lensa telefoto, sistem kamera yang digunakan pada Nokia 8 adalah sama seperti Huawei P10 yang menampilkan satu lensa RGB dan juga satu lensa Monokrom.

Namun begitu, sokongan lensa Nokia 8 sememangnya lebih istimewa kerana ia menggunakan optik popular dari ZEISS dengan mod kamera Dual-Sight yang membolehkan anda merekod atau mengambil gambar menggunakan kamera depan dan belakang secara serentak.
#6. Lensa Selfie ZEISS
Bagi anda yang gemar mengambil gambar swafoto, Nokia 8 dilengkapi dengan lensa ZEISS beresolusi 13 Megapiksel yang menjanjikan kualiti penggambaran yang sangat berkualiti.

Sokongan teknologi fokus PDAF (Phase Detection Auto Focus) yang disokong pada lensa depan ini juga turut memastikan hasil swafoto yang jauh lebih jelas tanpa masalah kabur kerana proses auto fokus yang sangat pantas. Bahkan ia turut dilengkapi dengan mod rakaman video Live untuk Facebook serta YouTube, dan menyokong keupayaan rakaman video berkualiti 4K.
#7. Nokia OZO Audio
Nokia 8 menjadi smartphone pertama di dunia yang menyokong teknologi rakaman OZO Audio terbina-dalam. Dengan kombinasi antara perkakasan dan juga perisian, anda berupaya merakam audio secara 360° melalui sokongan tiga mikrofon pada peranti ini. Dengan teknologi audio ini, secara automatik setiap bunyi akan difokuskan secara automatik mengikut pergerakan objek mahupun arah kamera dihalakan.
#8. Teknologi Pengecas Pantas
Tidak dinafikan lagi bahawa Nokia 8 merupakan antara peranti flagship dengan sokongan kapasiti bateri paling kecil iaitu hanya sebesar 3090mAh. Sungguhpun begitu, ia masih dilengkapi dengan teknologi pengecas pantas Quick Charge 3.0 yang menjanjikan masa mengecas yang sangat cepat.
Malah pakej pembelian Nokia 8 turut didatangkan sekali dengan adapter pengecas pantas yang menyokong output 5V2.5A / 9V2A / 12V1.5A atau bersamaan 18W. Jadi bagi melihat sendiri sejauh mana kepantasan mengecas Nokia 8, kami akan membandingkannya dengan beberapa buah model lain yang turut menyokong kapasiti bateri yang sama besar serta menyokong teknologi pengecasan pantas.
HASIL GAMBAR
Outdoor![]()
HDR
Indoor
Makro
Low-Light
Monokrom
KOMEN
KELEBIHAN
- Spesifikasi terbaik serta prestasi yang sangat berkuasa sememangnya sangat berbaloi dengan harga yang ditawarkan.
- Penggunaan optik ZEISS pada kamera depan dan belakang serta sokongan teknologi rakaman Nokia OZO Audio menjanjikan penggambaran yang berkualiti dan lebih profesional.
- Walaupun menyokong hanya satu speaker, ia merupakan antara smartphone yang mampu menghasilkan bunyi yang paling kuat dengan audio yang berkualiti.
- Antaramuka Android yang asal pastinya akan menjadi pilihan pengguna kerana ia terasa lebih lancar pengoperasiannya tanpa isu bloatware.
KEKURANGAN
- Bateri berkapasiti 3000mAh ini menjanjikan ketahanan bateri yang agak sederhana.
- Sungguhpun rekaannya terasa agak sempurna, ia agak membosankan kerana reka bentuknya yang agak ketinggalan.
- Ketiadaan lampu status LED adakalanya terasa agak menjengkelkan kerana anda perlu bergantung kepada paparan Always-On-Display yang perlu diaktifkan dengan mengangkat peranti.
- Rakaman video tidak menyokong format 1080p @ 60fps yang menjanjikan kualiti rakaman yang lebih baik.











