HP Zbook Memperkenalkan WorkStation Mudah Alih Ternipis Dunia

HP baru sahaja mengumumkan penambahan produk dalam siri Zbook – ini termasuk yang dilancarkan ialah workstation paling nipis dan ringan di dunia iaitu Zbook 14u G5 dan 15u G5 ke pasaran Malaysia. Ia menampilkan skrin privasi untuk membolehkan pengguna mengakses workstation dengan lebih bebas.

HP memaklumkan ia hadir dengan paparan beresolusi 4K dengan pemproses berkuasa Intel Generasi ke-8. Dua varian ini digandingkan dengan pemproses i5 dan i7 bersama teknologi Intel vPro. Sistem grafik lebih menyerlah dengan adanya bantuan daripada AMD Radeon Pro. Ia turut ditemani storan bersaiz 2TB berteknologi HP Z Turbo Drive.

Dengan segala perkakasan berteknologi tinggi ini, HP mengatakan ia sesuai digunakan untuk golongan profesional yang inginkan kelancaran dalam kerja-kerja CAD (Reka bentuk Bantuan Komputer). Kedua-dua produk ini telah dioptimumkan khusus untuk AutoDesk dan Adobe.

Kelengkapan dalaman yang hebat juga dipadankan dengan kerangka luaran tahan lasak. HP Zbook G5 didatangkan dengan badan logam yang diiktiraf MIL-STD-810G yang sesuai digunakan dalam pelbagai kondisi. Ia tidak dijamin akan bertahan dalam situasi peperangan tetapi pengguna tidak memerlukan ciri sebegitu untuk melakukan kerja-kerja pejabat.

Ketersedian HP Zbook 14u G5 dan 15u G5 akan diumumkan tidak lama lagi. Bagaimanapun, kedua-dua produk dijual dengan tanda harga bermula RM6,000 seunit.

You might also like