Planet Computers Memperkenalkan Prototaip PDA Android

Era kegemilangan penggunaan PDA (Pembantu Digital Peribadi) telah berakhir pada awal tahun 2010 yang lalu selepas fungsi yang ditawarkan olehnya telah digantikan dengan telefon pintar berasaskan Android dan juga iOS. Kini sebuah syarikat yang berpangkalan di London, United Kingdom, iaitu Planet Computers dilihat cuba mengembalikan nostalgia penggunaan PDA itu dengan kemunculan prototaip komputer riba mini yang dibangunkan khusus untuk platform Android.

Gemini PDA yang kini masih lagi dalam peringkat prototaip ini bakal dihasilkan secara komersial tidak lama lagi apabila kutipan dana untuk projek penghasilan PDA ini melalui Indiegogo telah mencapai sebanyak USD1.2 juta (kira-kira RM4.74 juta). Gemini PDA akan diperkenalkan dalam dua variasi berbeza iaitu 4G + WiFi dan juga WiFi sahaja. Malah ia juga dikatakan turut menyokong bateri berkapasiti 4220 mAh dengan dua port USB Type-C.

Dengan sokongan paparan skrin sebesar 5.99 inci bernisbah 18:9, Gemini PDA turut dilengkapi dengan papan kekunci QWERTY penuh yang boleh dilipat mirip seperti sebuah komputer riba. Walaupun dioperasikan dengan platform Android, ia juga turut menyokong fungsi dwi-boot Linux OS. Manakala untuk aspek kelancaran pengoperasian pula, ia hadir dengan pemproses 10 teras Cortex-A72 berkelajuan 2.6 GHz, ruang storan sebesar 64GB dan juga memori RAM 4GB.

You might also like