
Bellus3D Face Camera Pro Sokong Fungsi Swafoto 3D
Sebelum Apple mempopularkan penggunaan Face ID pada iPhone X, teknologi ini sebenarnya lebih awal dibangunkan oleh Bellus3D melalui prototaip Bellus3D Face Camera pada awal tahun 2017 yang lalu. Kini setahun selepas teknologi itu diperkenalkan, Bellus3D nampaknya telah kembali dengan kemunculan versi akhir yang dikenali sebagai Bellus3D Face Camera Pro.
Sebagaimana unit prototaip sebelum ini, sistem kamera kedalaman inframerah pada Bellus3D Face Camera Pro akan diaktifkan untuk mengimbas muka pengguna bagi mendapatkan struktur wajah yang tepat. Kemudian kamera depan yang disokong oleh peranti ini akan digunakan untuk mendapatkan warna yang lebih terperinci. Malah perisian khas juga turut digunakan bagi memastikan butiran kecil seperti liang roma dan juga kedutan pada wajah dapat dihasilkan dengan lebih baik.
Bellus3D Face Camera Pro boleh digunakan dengan sangat mudah melalui sambungan kabel USB Type-C terus ke telefon pintar atau tablet. Melalui sesi demo yang dijalankan, selain menyokong fungsi kamera swafoto 3D, ia juga sebenarnya boleh digunakan sebagai salah satu ciri keselamatan biometrik sama seperti Face ID pada iPhone X.
Sumber: TheVerge


