
Mod Potret Dari Google Pixel 2 Kini Boleh Digunakan Pada Peranti Android Oreo Terpilih

Walaupun tampil dengan hanya satu lensa sahaja, Google Pixel 2 atau Pixel 2 XL masih mampu mendapatkan hasil gambar dengan efek bokeh yang sangat baik melalui sokongan perisian mod potret yang disokongnya. Malah tidak dapat dinafikan lagi bahawa hasil gambar yang diambil menggunakan mod potret pada Pixel 2 dilihat lebih baik jika dibandingkan dengan sesetengah telefon pintar yang hadir dengan sokongan dwi lensa.

Mod potret sebenarnya telah diperkenalkan eksklusif untuk model Pixel 2 dan Pixel 2 XL sahaja, tetapi baru-baru ini ada pihak yang telah berjaya memindahkan fungsi mod potret ini pada peranti keluaran Google yang terdahulu seperti model Pixel, Pixel XL, Nexus 6P dan juga Nexus 5X.

Apa yang lebih menariknya, kini mod potret itu nampaknya telah boleh digunakan pada lebih banyak peranti Android apabila terdapat pembangun lain yang telah berjaya mengubahsuai fail APK itu untuk disokong pada peranti Qualcomm Snapdragon yang dikuasakan dengan Android Oreo. Setakat ini antara peranti yang berjaya menyokong mod potret ini adalah Xiaomi Mi 5s yang menggunakan LineageOS 15, OnePlus 3 dan 3T dengan OxygenOS 5, Motorola Moto G5 Plus dan juga Samsung Galaxy Note8 yang dioperasikan dengan ROM Oreo beta.
Muat turun fail APK mod potret: Camera NX 7.3.1
Sumber: XDA Forum

